Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pengurusan 1MDB licik, tipu Lembaga Pengarah termasuk Najib -Ismee

Tan Sri Ismee Ismail

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, pengurusan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melaksanakan skim paling licik dan jahat dengan mencuri jutaan dolar daripada syarikat pelaburan strategik negara itu.

Cadangan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, itu dipersetujui oleh bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, ketika disoal balas.

Lembaga Pengarah 1MDB ditipu Ketua Pegawai Kewangan  1MDB.

Ismee bersetuju, Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB gembira apabila diberi taklimat oleh bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir, dalam mesyuarat BOD pada 20 Oktober 2014, bahawa dana syarikat yang dilaburkan akan dikembalikan dari luar negara.

Bagaimanapun, kata Muhammad Shafee, perkara itu tidak pernah berlaku dan BOD 1MDB sebenarnya ditipu serta dikelirukan untuk mempercayai ia benar-benar akan dikembalikan, yang mana Ismee menjawab: "Ya."

Muhammad Shafee yang merujuk kepada Minit Mesyuarat 1MDB berkata, dalam taklimat itu, Azmi mendakwa sejumlah AS$870 juta sudah ditebus setakat pertengahan Oktober 2014 dan AS$300 juta lagi akan ditebus dalam beberapa hari akan datang.


Peguam Datuk Seri Najib itu berkata, Azmi berbohong kepada BOD 1MDB dengan menyatakan dana daripada pelaburan 1MDB dalam PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL) dipulangkan dan kononnya dimasukkan ke dalam Brazen Sky Ltd (syarikat yang diperbadankan di Kepulauan Virgin British ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho), tanpa memaklumkan ia kemudian dikeluar dan dikembalikan kepada sebuah syarikat palsu iaitu Aabar (Investments PJS Ltd).

Muhammad Shafee berkata, ia adalah penipuan terbesar pernah dilakukan tetapi BOD 1MDB tidak tahu mengenainya kerana bergantung kepada kejujuran pihak pengurusan syarikat.

Menjawab persoalan itu, Ismee mengulangi pendirian BOD 1MDB dikelirukan oleh pengurusan syarikat.

"Saya rasa perkara yang sama saya katakan tadi. Bulan puasa, tak sedap nak cakap.

"Yang Arif, saya sudah menjawab pada November tahun lalu apabila beliau (Muhammad Shafee) bertanya perkara yang sama. Saya masih menyatakan perkara yang sama iaitu BOD diperdayakan," katanya.

Saksi itu juga ditunjukkan dengan dokumen carta aliran wang, yang disifatkan Muhammad Shafee sebagai transaksi 'roller coaster' dengan tujuh kitaran jejak wang.

Carta berkenaan menunjukkan wang yang banyak itu sebenarnya adalah pinjaman AS$975 juta daripada Deutsche Bank yang digunakan untuk menunjukkan ada dana dikembalikan kepada 1MDB.

Daripada carta itu, wang yang dipinjam oleh 1MDB masing-masing berjumlah AS$223.33 juta dan AS$457.98 juta dipindahkan ke dalam Aabar Investments PJS Ltd dan melalui beberapa transaksi antara syarikat Lambasa Global Opportunity Fund, Bridge Global Absolute Return Fund SPC, Brazen Sky, 1MDB Global Investments Ltd dan Universal Ventures Fund SCC.

Bagaimanapun, lima kitaran daripadanya menunjukkan sejumlah besar wang dikembalikan kepada Aabar Investments PJS Ltd.

Muhammad Shafee berkata, 1MDB meminjam wang daripada Deutsche Bank untuk mengelirukan lembaga pengarah bahawa ia adalah wang yang dikembalikan.

Hakikatnya, ia dipindahkan ke dalam Aabar Investments PJS Ltd atas alasan bagi pembelian balik 49 peratus saham dalam syarikat subsidiari 1MDB.

Peguam itu berkata, skim jahat itu dilakukan pengurusan 1MDB dengan pihak berkomplot atas bantuan 'orang luar', merujuk kepada Jho Low yang dikatakan tidak pernah mempunyai jawatan rasmi dalam 1MDB.

Ismee bersetuju dengan cadangan peguam bahawa BOD tidak pernah tahu mengenainya.

Beliau memberi keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.