Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Presiden Majlis Peguam dikecam, pertahan Hakim yang disiasat SPRM


Pagi tadi presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn kata siasatan ke atas Hakim Nazlan yang didakwa terima rasuah adalah kononnya melanggar doktrin pengasingan kuasa dan juga menjejaskan kebebasan Badan Kehakiman.

Dalam satu kenyataan dia kata “ada mekanisme ditetapkan bagi menangani isu ini dan … sebarang percubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh dilihat sebagai menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman."

Kenyataan Karen Cheah Yee Lynn yang dipetik MalaysiaKini

Dia kata lagi, "Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan menyediakan cara khusus yang membolehkan sebarang aduan salah laku kehakiman ditangani dalam suatu cara tertentu yang akan memastikan keyakinan orang ramai terhadap Badan Kehakiman berterusan." (Oleh itu kononnya mungkin mereka boleh siasat sendiri atau cara lain dan tidak perlu siasatan pihak lain e.g. SPRM). 

Saya cuma nak kata ini kepada Karen:

Pertama, sejak bila Majlis Peguam pertahan orang yang dituduh terima rasuah? Rakan-rakan kamu dalam Majlis Peguam setuju atau tidak dengan kenyataan kamu ini?

Kedua, mekanisme yang ditetapkan untuk menangani isu hakim seperti yang kamu kata di atas adalah amnya untuk menangani komplen salah-laku hakim atau "judicial misconduct". Ada beza besar antara komplen "judicial misconduct" atau salah-laku hakim ini dengan dakwaan jenayah yang dilakukan oleh hakim. 

"Misconduct" (salahlaku) dengan "crime" (jenayah) itu jauh bezanya. Contohnya, ponteng kerja, selalu lewat, main golf waktu kerja itu salah laku (misconduct), tetapi bunuh orang, ambil rasuah, pukul orang itu adalah jenayah (crime). Bila hakim terima rasuah itu adalah jenayah (crime) bukan sekadar salah-laku (misconduct).

Karen Cheah Yee Lynn

Jika mekanisme yang kamu kata di atas kamu saran untuk siasat jenayah hakim, saya tidak rasa kamu berfikiran waras, malah itu adalah satu cadangan yang salah.

Sebab itu saya kata semalam jika hakim bunuh orang, takkan polis tidak boleh siasat? dan takkan bila polis siasat hakim atas kesalahan jenayah ini itu dikira melanggar doktrin pengasingan kuasa dan campurtangan eksekutif? Samalah jika hakim terima rasuah.

Takkan nak suruh hakim siasat hakim yang bunuh orang atau terima rasuah? Itu bukan kerja mereka dan ia tidak masuk akal.

Jika ini berlaku, lagilah ia menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman sebab elemen semak-imbang yang ketiadaan atau terhakis.

Doktrin pengasingan kuasa adalah dibuat dengan tujuan untuk menyemak imbang antara satu cabang kerajaan dengan cabang yang lain, bukan untuk satu cabang buat apa yang mereka suka termasuk terlepas dari disiasat jika mereka buat jenayah. Ini kamu perlu faham. 

Satu lagi, hakim ada yang dikategorikan sebagai penjawat awam dan ada yang dikategorikan bukan. Ini hanya untuk membezakan sama ada mereka berada dalam cabang eksekutif atau cabang kehakiman.


Namun kedua-dua ketegori hakim ini adalah termasuk dalam pekhidmat badan awam, oleh itu tertakluk kepada Akta SPRM untuk disiasat jika mereka menerima rasuah. Akta ini diluluskan oleh Parlimen dan mengikut Perlembagaan.

Hayatilah semangat sebenar "Rule of Law", iaitu tidak ada siapa yang boleh terlepas dari undang-undang jika mereka melakukan jenayah, tidak kira status, jawatan, bangsa, jantina atau sebagainya termasuklah hakim. Undang-undang tidak boleh memilih kasih atau double standard.

Akhir kata, tegakkanlah Rule of Law setiap masa, bukan hanya apabila ia kena kepada kepercayaan politik kamu sahaja. Undang-undang perlu ditegakkan secara adil dan saksama, tidak kira siapapun yang melanggarnya, untuk mencapai keadilan kepada semua.

Salam.
ISHAM JALIL
26 April 2022