BACHOK: Tiga jari tangan kanan seorang remaja hancur dan gegendang telinganya pecah ketika bermain mercun bola di Kampung Lembah Beris Kubur Besar, Tawang di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu, mangsa berusia 14 tahun dipercayai tidak sempat membaling mercun bola yang telah dinyalakan sumbu ketika bermain di belakang rumah.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, insiden itu turut menyebabkan bahagian leher mangsa luka selepas terkena percikan bahan bakar mercun.
“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Berdasarkan pemeriksaan, tiga jari kanan mangsa iaitu ibu jari, telunjuk dan tengah hancur akibat terkena mercun itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, mangsa sudah menjalani pembedahan membuang tiga jarinya di HUSM dan kini berada dalam pemerhatian hospital.
Menurutnya, polis belum menerima laporan berkenaan kejadian itu daripada keluarga mangsa, sebaliknya mengetahui insiden berkenaan selepas gambar mangsa tular di media sosial sejak 12 tengah hari tadi.
– UTUSAN