AYER KEROH: Tindakan kejam seorang pemuda merogol isteri rakannya yang sedang hamil tujuh bulan berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.
Tertuduh, Zul Hafiqhafizi Zakaria, 25, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang penganggur didapati merogol mangsa yang berusia 26 tahun di sebuah rumah di Taman Debunga, Merlimau sekitar jam 4.20 pagi, 21 Januari lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur sebelum tiba-tiba didatangi tertuduh yang menutup muka menggunakan kain putih.
Ketika kejadian, wanita tersebut yang sedang sarat mengandung tujuh bulan tinggal seorang diri, manakala suaminya sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.
Tertuduh dikatakan memaksa mangsa menanggalkan pakaian sambil mengacukan pisau menyebabkan wanita itu tiada pilihan lain.
Prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah berat.
Ini adalah kerana tertuduh merupakan kenalan suami mangsa dan sedia maklum lelaki itu sedang menjalani hukuman di penjara.
Nariman pada penghakimannya kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 24 januari lalu dan dikenakan tiga sebatan.
Tertuduh, bagaimanapun, tidak diwakili peguam.
Berita asal: Awani