KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee hari ini telah ditunjukkan beberapa carta yang didakwa menunjukkan jejak kewangan rumit dan berbelit-belit daripada 1MDB kepada beberapa entiti berkaitan dengan Jho Low sebelum dimasukkan ke dalam akaun AmBank yang berakhir dengan nombor 694 dan 880 milik Najib Razak.
Beliau ditunjukkan carta tersebut semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya kanan ad-hoc Gopal Sri Ram.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib sebelum ini, saksi pendakwaan ke-13 itu berkata, bekas perdana menteri itu tidak mendapat manfaat daripada projek dan pinjaman yang diambil oleh 1MDB.
Dalam perbicaraan hari ini, Sri Ram keluarkan carta jejak kewangan dan terus bertanya saksi samada adakah dia mengetahui ada duit masuk ke dalam akaun Najib.
Sri Ram: Pihak pembelaan sebelum ini mencadangkan Najib tidak mendapat faedah daripada dana 1MDB dan kamu bersetuju. Adakah kamu mahu mengubah jawapan sebelum ini?
Ismee: Carta aliran wang ini tidak ditunjukkan kepada saya ketika sesi soal balas. Ya, berdasarkan carta ini sejumlah dana masuk ke dalam akaun Najib.
Apa yang tidak ditunjuk dalam carta jejak kewangan itu adalah majoriti dari RM2.28 bilion yang telah dipulangkan semula seperti yang telah disahkan oleh FBI di AS.
Ketika prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Sri Ram berkata, RM60.6 juta telah dimasukkan ke dalam akaun Najib di bank AmIslamic di sini antara Februari dan Jun 2011 dalam dua transaksi.
Beliau berkata, wang itu adalah daripada pengambilan RM5 bilion bon Islam yang diterbitkan oleh dana kerajaan negeri Terengganu Investment Authority (TIA), yang kemudiannya menjadi 1MDB.
Sri Ram berkata, wang itu datang daripada Good Star Ltd, iaitu sebuah syarikat yang dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
RM90.8 juta lagi daripada 1MDB Energy Ltd yang mula-mula disalurkan kepada Aabar Investments PJS Ltd (BVI) dan kemudian ke Blackstone Asia, iaitu juga sebuah syarikat yang dikawal oleh Low melalui rakan sekutunya, Tan Kim Loong.
Sri Ram berkata, RM90.8 juta itu masuk ke dalam akaun Najib antara Oktober dan November 2012 dalam dua transaksi.
Antara Mac dan April 2013 beliau berkata, RM2.08 bilion (USD681 juta) telah dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri melalui Tanore Finance Corporation.
Akhir sekali katanya, RM49.9 juta lagi dimasukkan ke dalam akaun Najib pada 2014.
Ismee adalah pengarah 1MDB antara 2009 dan 2016 dan ketua pegawai eksekutif Tabung Haji dalam tempoh sama.
Sri Ram juga bertanya kepada saksi apakah sikap lembaga pengarah 1MBD apabila arahan datang daripada Najib.
“Saya fikir ia bagus, terutama untuk usaha sama antara 1MBD dan PetroSaudi International (PSI), khususnya ketika saya menjadi ketua pegawai eksekutif Tabung Haji,” katanya.
Ismee berkata, beliau mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Najib pada masa itu, dan itulah sebabnya beliau tidak meletakkan jawatan daripada lembaga pengarah 1MDB seperti yang dilakukan oleh pengerusinya ketika itu, Bakke Salleh, pada 2009.
Najib kini dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa disimpan dalam akaun peribadi AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung.
-FMT/Utusan