Bekas perdana menteri Najib Razak meminta penyokong pembangkang tidak mengaitkan perbicaraan 1MDB yang dihadapinya dengan kes jurujual wanita, Sam Ke Ting yang dihukum penjara enam tahun atas pertuduhan memandu secara melulu.
Ini selepas wakil rakyat pembangkang semalam mempersoalkan mengapa tiada ikat jamin diberikan kepada Sam sementara menunggu rayuan seperti mana dalam kes Najib.
"Adoi! Sam Ke Ting dinafi ikat jamin pun salah Najib?
"Geng DAP-PH dah mula buat kerja untuk kaitkan kes Sam dengan saya. Mereka kata kenapa saya diberi ikat jamin tetapi Sam dinafikan pula," katanya dalam catatan Facebook.
Najib berkata, presiden PKR Anwar Ibrahim juga pernah dibenarkan diikat jamin selepas Mahkamah Rayuan mensabitkannya atas kesalahan liwat pada Mei 2014.
"Kenapa pula nak pertikaikan saya pula sekiranya Anwar Ibrahim mendapat layanan yang sama? Kenapa tak kaitkan pula kes Sam dengan kes Anwar?
"Kenapa pula geng sebelah sana tidak salahkan Tommy yang memfailkan rayuan terhadap keputusan kali pertama untuk bebaskan Cik Sam pada tahun 2019?" katanya dalam catatan Facebook semalam.
Thomas merupakan peguam negara semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dari Jun 2018 hingga Februari 2020.
Semalam Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan Sam dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja basikal lajak, kira-kira lima tahun lalu.
Ia sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu, yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan berkenaan.
Keputusan itu menimbulkan pertikaian di kalangan ahli parlimen pembangkang.
Antara aspek yang dikritik ialah keputusan mahkamah bahawa Sam perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum memohon penangguhan hukuman.
Beberapa wakil rakyat pembangkang berkata keputusan itu tidak adil memandangkan terdapat duluan (precedent) yang membenarkan penangguhan itu, termasuk dalam kes Najib.
"Jika Najib Razak boleh diikat jamin dan ke mana-mana sementara menunggu rayuan, Cik Sam juga patut begitu," kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin di Facebook
‘Jangan jadikan modal politik perkauman’
Sementara itu, Najib mendakwa penyokong pembangkang cuba menjadikan kes itu sebagai isu perkauman antara kaum Melayu dengan Cina.
"Niat geng sebelah sana adalah amat jelas.
Nak jadikan kes ini sebagai modal politik perkauman Cina lawan Melayu serta naik kaitkan dengan saya supaya rakyat membenci saya.
"Ini adalah salah. Kes ini tidak patut dilihat dari segi perkauman. Kes ini adalah satu tragedi yang melibatkan seorang gadis muda serta kematian 8 anak muda.
"Janganlah jadikan tragedi ini sebagai modal politik perkauman dan kebencian. Grow up, please.
"Keputusan untuk tidak memberi ikat jamin kepada Sam tiada kaitan dengan saya atau kerajaan," tambahnya.
Untuk rekod, pemimpin Umno juga pernah menjadikan insiden kemalangan itu sebagai modal dalam kempen politik.
Semasa kempen pilihan raya kecil Tanjung Piai pada 2019, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaj.
Walaupun tidak menyebutkan nama, Zahid jelas merujuk kepada kes membabitkan Sam.
Sementara itu, Najib menyuarakan harapan agar kes membabitkan Sam diadili dengan sebaik mungkin.
"Apapun, setiap individu dalam Malaysia berhak menerima pembelaan yang adil dan lengkap.
"Saya turut harap Cik Sam juga akan mendapat pengadilan yang seadil-adilnya," katanya.
-Malaysiakini