PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mungkin memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun atau dua pusingan pilihan raya umum untuk kembali menguasai Putrajaya, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Bekas naib presiden PKR itu berkata, gabungan itu juga diramal berdepan laluan sukar dan akan kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Justeru Izzah berkata, PH perlu menjadi parti pembangkang yang bermaruah dengan menawarkan tawaran baharu yang lebih realistik berbanding PRU sebelum ini.
“Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan untuk impak lebih positif serta kembali diterima oleh rakyat.
“Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU15? Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk menawarkan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan keadaan yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan sebelum ini,” katanya menurut laporan Sinar Premium.
Izzah berkata, punca beliau tidak yakin PH akan kembali berkuasa selepas PRU15 adalah kerana dasar dan kegagalannya menunaikan manifesto PRU14 selepas menjadi kerajaan.
Bagaimanapun Izzah berkata, tempoh 22 bulan PH menjadi kerajaan terlalu singkat untuk dinilai berbanding Barisan Nasional (BN) yang berkuasa selama lebih enam dekad.
“PH banyak belajar daripada maklum balas rakyat dan pengamalan itu. Jika mahu dibandingkan antara kegagalan PH menunaikan manifesto semasa menjadi kerajaan selama 22 bulan dengan BN selama lebih enam dekad memang jauh.
“Kalau dinilai jumlah manifesto berjaya dilaksanakan BN mungkin dapat markah F (gagal),” katanya.
Izzah turut meramalkan selain PH, parti lain khususnya Umno turut berdepan kemungkinan hilang banyak kerusi pada PRU15.
“Mungkin Umno dan BN berasa yakin boleh menang tetapi mereka kena ingat perkara itu belum pasti kerana pengundi atas pagar belum lagi ‘mengaum’ sekuat mungkin.
“Ini kerana pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor berlangsung sebelum kita memasuki fasa peralihan endemik lagi seperti sekarang,” katanya.
“Apabila semua sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya sudah pasti pengundi akan keluar beramai-ramai, saya rasa semua ahli Parlimen patut berasa takut.”
Izzah sebelum ini mengumumkan tidak bertanding merebut enam jawatan tertinggi parti dalam pemilihan PKR penggal 2022/2025.
Sebaliknya katanya, beliau akan menumpukan kepada usaha menarik pengundi atas pagar menjelang PRU15.
Dalam pada itu, Izzah berharap beliau diberi peluang sekali lagi oleh pucuk pimpinan parti untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU15 nanti.
“Bagaimanapun, saya menghormati apa juga keputusan akhir yang dibuat oleh pimpinan tertinggi PKR,” katanya.
-FMT