Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sebagai calon PM, Ismail Sabri perlu diangkat sebagai Pengerusi BN -Annuar Musa


KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri (PM) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pandangan itu disuarakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang turut mencadangkan agar Ismail Sabri dipilih sebagai Pengarah Utama Jentera Pilihan Raya BN.

“Sebagai calon Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri perlu diberi seluas-luas ruang untuk mencorakkan pentadbiran yang mampu membawa 'order baru' politik negara yang lebih segar, bersih, berintegriti dan mampu memulihkan negara,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Pada Khamis, MKT sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden parti, untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi PRU15 akan datang.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sambil mengucapkan terima kasih, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, keputusan yang dibuat itu melambangkan bahawa UMNO kekal terus bersatu dalam kalangan ahlinya tanpa berbelah bahagi.


Mengulas lanjut, Annuar berkata, syura dan muafakat MKT UMNO menampilkan kematangan dan kebijaksanaannya, terutama dalam membuat keputusan kritikal dan strategik bagi memastikan kelangsungan perjuangan UMNO.

“Keputusan ini membolehkan YAB Datuk Seri Ismail Sabri menumpukan perhatian dan mengerahkan seluruh kekuatan bagi mengembalikan semula kekuatan UMNO serta memulihkan keyakinan rakyat.

“Saya percaya keputusan ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh seluruh ahli dan penyokong perjuangan UMNO, tetapi juga oleh parti-parti komponen BN dan rakan sekutu BN,” katanya lagi.

-Awani