Belum pun selesai isu status sebenar rumah tangganya dengan isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Sera, pelawak dan pengacara, Shuk Sahar, terpalit pula dengan tuduhan telah berkahwin dengan wanita yang didakwa kekasih gelapnya selama ini, Farah Salleh.
Terkejut dengan dakwaan itu, Shuk mengaku dirinya masih belum berkahwin dengan wanita itu dan enggan mengulas panjang mengenai hal tersebut.
“Belum berkahwin. Pada saya, kalau nak buat apa pun berkaitan dengan hubungan saya, lebih baik saya selesaikan satu persatu isu yang ada dahulu. Hubungan saya dengan Sera pun tak tahu pengakhirannya macam mana.
“Jadi, saya sedang aturkan yang terbaik. Bukan untuk kehidupan saya, tetapi untuk semua pihak, daripada semua sudut, keluarga dan anak-anak.
“Doakanlah yang terbaik sebab saya pun dah penat nak cakap itu dan ini,”katanya ketika ditemui di gerai minuman Semooth sempena Fiesta Ramadan di Aeon Big, Seksyen 23, di sini, semalam.
Tambah Shuk lagi, dia juga sudah serik untuk terlalu banyak memberi hujah atau penjelasan setiap kali isu mengenainya timbul dan diperdebatkan netizen.
“Bila saya cakap begini, orang kata saya nak berlakon jadi mangsa. Bila saya mengaku salah, orang kata saya bangga pula dengan kesalahan yang dibuat. Jadi saya nak jawab macam mana lagi?
“Itu sebab saya cuma minta semua orang doakan yang terbaik saja untuk saya. Tapi pasal kahwin itu, memang betul saya belum berkahwin lagi.
Buat masa sekarang, saya punya perancangan hidup itu lebih kepada nak fokus bisnes. Tak fikir pun pasal hal lain,”katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai hubungannya dengan anak-anak, kata Shuk, dia tidak pernah melupakan kedua anaknya iaitu Nur Qurratu Ain, 5, dan Nur Assyifatu Aimi, 2 meskipun mereka kini berada di Sabah.
“Saya tak pernah lupakan mereka dan kisahkan mereka. Saya ada berhubungan dengan Sera dan anak-anak dalam sela waktu. Tapi kebanyakan masa, memang anak-anak Sera yang jaga.
“Sera jaga anak-anak dengan cukup baik. Masa bulan puasa ini pun dah terasa bezanya, tak perlu tunggu raya nanti. Bangun sahur dah rasa lain, apatah lagi masa berbuka puasa. Walau ada kawan-kawan, tapi kosongnya itu masih terasa tanpa keluarga di sisi.
“Ada ketika saya menangis. Tapi apa yang terjadi, saya tahu ia kesilapan sendiri. Saya terima dan reda dan cuba untuk betulkan walaupun tahu ada perkara yang kita boleh betulkan dan ada yang tidak. Tapi sekurang-kurangnya saya mencuba,”katanya.
Untuk info, Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada tahun 2015.
Terdahulu, isu pergolakan semula rumah tangga Shuk dan Sera, tular di media sosial berikutan pendedahannya tentang Shuk yang didakwa berlaku curang.Ads by Kiosked
Menerusi beberapa perkongsian hantaran yang dimuat naik Rossalennah di Instagram, dia mendedahkan Shuk masih lagi menjalin hubungan bersama wanita lain dan isu berkaitan berulang kali bertebaran di media sosial dan di media massa.
Rentetan isu kecurangan, Shuk juga berputih mata kehilangan posisinya sebagai penyampai radio Hot FM apabila pihak pengurusan stesen radio tersebut sekitar awal tahun lepas, mengesahkan bahawa perkhidmatan Shuk digantung serta merta.
-UTUSAN