Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memanggil individu terbabit dalam klip video muzik sempena Aidilfitri dikaitkan dengan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata individu yang dikenal pasti telah diberi notis dan diminta untuk hadir di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya pagi esok.
"SKMM sudah teliti di peringkat awalan, dan ada sebab untuk siasatan dilaksanakan, dan dengan itu satu kertas siasatan dibuka untuk siasat perkara ini di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Iftar Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) bersama MenKOMM (Menteri Komunikasi dan Multimedia) di sini hari ini.
Klip video raya berkenaan yang memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.
Annuar turut mengesahkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerima terlalu banyak aduan termasuk daripada Jabatan Perdana Menteri khususnya Hal Ehwal Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung klip video itu.
Beliau berkata keresahan itu timbul kerana klip video berkenaan mempunyai unsur tertentu yang bercanggah dengan amalan dan norma masyarakat negara ini.
Sementara itu Annuar berkata Jemaah Menteri bersetuju agar siaran radio RTM bahasa Tagalog ditamatkan kerana didapati ia tidak lagi efektif, dan jumlah pendengarnya juga semakin berkurangan.
"Satu ketika dulu RTM adakan satu saluran radio khusus dalam bahasa Filipina atau Tagalog terutama sekali bagi kemudahan sebahagian penduduk di Sabah atau Selatan Filipina.
Siaran FM biasa yang ada di Sabah dikira sudah memadai dan bahasa kebangsaan serta bahasa local menjadi cukup efektif melalui saluran radio sedia ada," katanya.
– BERNAMA