Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tak wajib lagi scan MySejahtera


PUTRAJAYA: Bermula 1 Mei, imbasan kod QR MySejahtera tidak diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun, beliau menyeru supaya fungsi MySJ Trace diaktifkan untuk tujuan pengesanan kontak.

Katanya, individu dengan status ‘High Risk’ pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif Covid-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO), tidak dibenarkan masuk ke premis.

“Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya. Aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan Covid-19 dan arahan HSO. 

“Ia juga penting untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pencegahan dan kawalan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau berkata, sejajar dengan fasa peralihan ke endemik, MySejahtera sebagai aplikasi kesihatan awam akan ditambah baik dengan pengenalan ciri-ciri baharu.

“Sebagai permulaan, fungsi sedia ada iaitu Hotspot Tracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes Covid-19, kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit-penyakit lain iaitu rabies (penyakit anjing gila), demam campak, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta denggi. 

“Kawasan ini akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit,” katanya. 

Mengulas lanjut, Khairy menyeru rakyat Malaysia mengambil peluang menggunakan fungsi yang ditambah baik ini terutamanya apabila hendak balik ke kampung, berhari raya ke rumah saudara-mara atau pergi bercuti. 


“Ini adalah langkah proaktif bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit, terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi. 

“Saya juga amat menggalakkan persatuan-persatuan komuniti menggunakan fungsi ini untuk membantu dalam mengawal penularan penyakit berjangkit ini di kawasan kediaman masing-masing dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong serta pembersihan kawasan perumahan dan perkampungan,” katanya. 

–UTUSAN ONLINE