KUALA LUMPUR – Trafik dilaporkan sesak di hadapan TRX menghala ke RHB di Jalan Tun Razak ekoran sebuah treler yang menghalang semua lorong.
Treler berkenaan melintang antara keempat-empat lorong, dikatakan mengalami masalah brek bocor dan menyebabkan aliran trafik sesak dari Jalan Yew.
Menurut kemaskini di laman Twitter ITIS Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis trafik telah tiba di lokasi dan telah membuat lencongan jalan ke susur Jalan Bukit Bintang dari Bulatan Kampung Pandan.
Kira-kira jam 4.43 petang tadi, DBKL memaklumkan bahawa treler berkenaan telah berjaya ditunda ke lokasi selamat dan semua lorong di Jalan Tun Razak telah dibuka.
Pihak DBKL juga meminta pengguna jalan raya di kawasan terlibat memberi sedikit masa untuk penyuraian trafik di lokasi.
Menurut kemaskini terbaru, aliran trafik dilaporkan masih sesak dari arah Jalan Sungai Besi.
Sumber: ITIS DBKL