Wan Muhammad Azri Wan Deris sekali lagi memfailkan penafian dirinya sebagai penulis blog Papagomo di mahkamah.
Ahli exco Pemuda Umno yang digantung keahlian itu mengulangi penafiannya dalam afidavit soalan sebagai menjawab hujahan yang dikemukakan oleh bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan anaknya Clint Lim Way Chau.
Kedua-dua mereka memfailkan saman fitnah terhadap Azri pada 15 Okt 2020, di Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang, yang mendakwa bahawa Clint membawa wang tunai RM2 juta yang tidak diisytiharkan ke Singapura. Tuntutan itu adalah berhubung hantaran di Facebook yang didakwa bertarikh 14 Mac, awal tahun itu.
Tindakan sivil itu kemudiannya telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada Jun tahun lalu, dilaporkan bahawa Azri dalam pernyataan pembelaannya menafikan dirinya sebagai Papagomo.
Dalam jawapan dalam pernyataan pembelaan akhir tahun lalu, bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dan anaknya menjelaskan bahawa kata-kata fitnah tersebut adalah tidak benar dan mencemarkan nama baik mereka.
Pada 15 Feb tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan defendan menjawab soalan kedua-dua plaintif.
Mengikut undang-undang Malaysia untuk tindakan sivil, permohonan interogatori adalah satu senarai soalan bertulis rasmi yang perlu dijawab oleh defendan untuk membantu menjelaskan apa yang berlaku dan menentukan terlebih dahulu fakta yang akan dikemukakan dalam perbicaraan.
Penafian terbaru Azri sebagai Papagomo terkandung dalam afidavit yang difailkan pada 8 Mac tahun ini.
Dalam pemfailan terbaru mahkamah, ahli Umno itu juga menafikan dirinya membuat hantaran berunsur fitnah itu di Facebook pada 14 Mac 2020.
Interogatori 1, iaitu benarkah kamu juga dikenali dengan nama timangan dan/atau gelaran “Papagomo”?
Jawapan: Tidak.
Interogatori 2, iaitu benarkah pada tahun 2020, khususnya pada 14 Mac 2020, kamu memiliki akaun Facebook di bawah nama “Papa Azri”, di mana nama dan / atau rujukan kepada pemilik akaun sebagaimana yang boleh dilihat di laman Facebook tersebut, ialah “Papa Azri”?
Jawapan: Tidak.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, peguam Lim, Simon Murali mengesahkan bahawa afidavit Azri telah disampaikan kepada anak guamnya.
Peguam itu berkata, Mahkamah Tinggi menetapkan lima hari untuk perbicaraan penuh bermula 12 Ogos 2024.
Murali menambah, bahawa mahkamah juga menetapkan 13 Dis tahun ini untuk pengurusan kes lanjut saman sivil itu.
Peguam itu memberitahu demikian selepas menghadiri pengurusan kes tersebut awal hari ini.
Azri diwakili peguam dari firma guaman Fazilah Logen & Associates.
Dalam saman fitnah ini, Lim dan anaknya menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan; faedah atas ganti rugi yang ditetapkan; kos serta perintah lain yang dianggap adil, wajar dan berpatutan oleh mahkamah.
-Mkini