Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

YADIM desak SKMM padam video muzik usahawan kosmetik promosi unsur LGBT


MELAKA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menarik atau memadam video muzik hari raya menampilkan usahawan kosmetik terkenal baru-baru ini, yang jelas mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh turut menggesa SKMM mengambil tindakan sewajarnya di bawah akta suruhanjaya itu agar tindakan biadab seumpama itu tidak berulang, terutama oleh individu sama, khususnya pada bulan Ramadan.

“Sudah sampai masanya tindakan lebih tegas diambil pihak bertanggungjawab, terutama SKMM, kerana ia melibatkan penyebaran dalam ruang siber, tidak perlu lagi amaran diberikan kepada individu berkenaan kerana beliau banyak kali terlibat dengan kontroversi seumpama itu.

“SKMM bukan sahaja boleh menarik balik atau mengharamkan video berkenaan, tetapi kepada penyebar dan pembuat video itu juga boleh diambil tindakan. Ada batas yang tidak boleh dilanggar, terutama di Malaysia dan melibatkan masyarakat Muslim, dan dalam tempoh Ramadan ini,” katanya selepas Program Bantuan Hari Raya Aidilfitri Yadim di sini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa membantu ibu tunggal, Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi dan empat anaknya berusia tujuh hingga 15 tahun memilih pakaian raya sumbangan Yadim.

Beliau berkata, Yadim juga bersedia membuat laporan kepada SKMM berkaitan video muzik itu sekiranya perlu, bagi membolehkan tindakan diambil ke atas individu tersebut.


Selain itu, katanya, orang ramai diseru menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna, agar hiburan yang dikategorikan sebagai “sampah” tidak disajikan lagi kepada masyarakat secara umum.

Tuan Kamarul berkata, video muzik itu dilihat hanya sebagai salah satu kaedah pemasaran oleh individu berkenaan untuk perniagaannya, walaupun pendekatan itu tidak betul dan dilabel “bad promotion”.

Katanya, Yadim komited mengekang proses normalisasi LGBT di negara ini menerusi pelbagai pendekatan, termasuk penerangan, penguatkuasaan undang-undang dan advokasi berterusan yang akan digerakkan kira-kira 10,000 ejen dakwahnya, yang berada di peringkat universiti dan sekolah.

-FMT