Penampang: Dua lelaki termasuk seorang parah selepas dipercayai digigit anjing peliharaan mereka sendiri di Taman Putera Pogun, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 20 tahun parah di bahagian tangan manakala seorang lagi berusia 25 tahun cedera ringan di bahagian paha.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu 3.49 petang.
Katanya, sepasukan lapan bomba bersama sebuah jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua lelaki digigit anjing peliharaan dan seorang mangsa parah di bahagian tangan manakala seorang lagi cedera ringan dk paha.
"Kedua mereka kemudian diberi rawatan awal seterusnya dihantar ke klinik oleh ibunya untuk mendapat rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, dalam masa sama, pasukan bomba menenangkan anjing berkenaan sebelum menangkapnya.
"Selepas berjaya ditangkap, anjing itu diserahkan semula kepada pemiliknya.
"Operasi ditamatkan pada 4.42 petang tadi," katanya.
-HarianMetro