Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Haru biru, lapan cabang PKR terpaksa buat undian pemilihan semula


Sebanyak lapan cabang di empat negeri akan melakukan pemilihan semula selepas berlaku masalah teknikal dan isu salah faham, kata Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR.

Ekoran pemilihan semula itu, kata Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa, keputusan tidak rasmi pemilihan yang menarik perhatian banyak pihak itu tidak akan diketahui pada 23 Mei ini seperti jangkaan awal.

Sebaliknya kata Zaliha, ia akan diketahui selepas cabang terbabit selesai melakukan pemilihan semula.

"Lima cabang di Kelantan - termasuk Ketereh, Bachok dan Tumpat - serta Dungin di Terengganu perlu menjalani pemilihan semula ekoran masalah teknikal," katanya kepada Malaysiakini.

Diminta menjelaskan situasi itu dengan lebih lanjut Zaliha berkata ia ada kaitan dengan aplikasi ADIL yang digunakan PKR dalam proses penghundian secara dalam talian.

Melalui aplikasi itu tambahnya PKR menyediakan kemudahan mengundi secara dalam talian atau luar talian.

Katanya petugas di lapangan diberikan arahan agar menggunakan kaedah dalam talian apabila liputan internet dalam keadaan baik.

Bagaimanapun berlaku salah faham dan kesilapan komunikasi," katanya.

Belum dapat laporan lagi

Menurut Zaliha lagi masalah teknikal itu berlaku di Kelantan dan Terengganu pada hari pertama pemilihan PKR di peringkat cabang berlangsung.

Di Kedah, katanya, JPP akan mengadakan pemilihan semula di cabang Padang Serai apabila berlaku rasa tidak puas hati dalam kalangan calon yang bertanding.

Merujuk kepada cabang Hulu Selangor - yang dibatalkan pemilihannya semalam - Zaliha berkata keputusan itu diambil kerana kemudahan dan logistik yang sepatutnya ada, tidak disediakan.

Pun begitu dia menafikan insiden itu berpunca daripada sabotaj mana-mana pihak seperti didakwa ahli di peringkat akar umbi.

Walaupun mengakui kemudahan dan logistik itu sepatutnya disediakan pihak yang menyandang jawatan di cabang tersebut, Zaliha bagaimanapun mengaitkan insiden berkenaan dengan satu lagi isu salah faham

Saya belum dapat sebarang laporan mengenainya setakat ini, tapi ia mungkin disebabkan masalah komunikasi.

"Penyelaras kami sudah membuat penyelarasan dengan semua cabang beberapa minggu lalu bagi memastikan semuanya berjalan lancar," katanya.

Menurut Zaliha lagi JPP dimaklumkan dewan tempat pengundian itu sepatutnya berlangsung ditutup untuk persediaan pada Jumaat dan kakitangan mereka menyangka tidak ada apa-apa yang berlaku.

"Tapi kami dimaklumkan dewan itu masih ditutup dan tiada persediaan dibuat pada Sabtu, maka mereka cuba memastikan pengundian tetap dijalankan.


"Parti kemudian membuat keputusan menjelang jam 11 pagi dan membatalkan pemilihan cabang Hulu Selangor bagi mengelak kekecohan," katanya.

Zaliha berkata tarikh baru pemilihan semula itu belum diputusakan lagi kerana ada tiga negeri lain akan menjalani pengundian hari ini dan mungkin masih ada protes di cabang tertentu.

Katanya JPP lebih suka jika semua pemilihan semula itu - jika membabitkan kurang daripada 20 cabang - dijalankan pada hari yang sama.

-MalaysiaKini