Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kami seolah-olah dipinggirkan dalam Bersatu -Zuraida


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menafikan dirinya ahli Bersatu yang bermasalah dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) ketika masih bersama parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu.

Zuraida dalam jawapan kepada surat tunjuk sebab yang diberikan Bersatu, mempertahankan dirinya daripada tuduhan menyertai PBM ketika menjadi ahli parti itu dan peranan PBM yang dikatakan terpinggir daripada perjuangan Bersatu.

“Dalam perbincangan saya bersama presiden (Muhyiddin), saya telah maklumkan idea penubuhan parti baharu yang bersifat berbilang kaum untuk memberi nilai tambah dan bersifat sebagai subsidiari kepada Bersatu dalam menambat segmen pengundi berbilang bangsa yang tidak dapat dirangkul oleh Bersatu.

“Hal ini akan menambah sokongan kepada Bersatu berdasarkan latar belakang kami yang terdiri daripada penjawat jawatan tertinggi dalam sebuah parti berbilang bangsa sebelum ini yang telah memenangi majoriti kerusi Parlimen di seluruh negara dalam pilihan raya umum lalu.

“Ini kerana latar belakang kami dengan sokongan akar umbi yang berjumlah 400,000 orang pada waktu itu pastinya menguntungkan Bersatu,” katanya menurut laporan Mingguan Malaysia.

Zuraida menerima surat tunjuk sebab pada 11 Mei lalu kerana berkali-kali menyertai aktiviti PBM yang melanggar disiplin parti itu, dan beliau memberi jawapannya pada 23 Mei.

Khamis lalu, Zuraida mengumumkan hasrat melepaskan jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi, selepas meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM.

Muhyiddin kemudiannya dilaporkan berkata, keahlian Zuraida dalam Bersatu digugurkan serta-merta dan nama baharu akan dikemukakan kepada perdana menteri dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet kerana kedudukan Zuraida sebagai menteri atas kuota parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman pula dilaporkan berkata, Zuraida dikesan terlibat dengan aktiviti parti lain dan tidak membantu parti dalam pilihan raya negeri Melaka serta Johor.

Zuraida berkata, masalah timbul apabila bekas ahli PKR ingin menyertai Bersatu tidak di­terima, bahkan dilewatkan.

Katanya, kumpulannya yang terdiri daripada aktivis politik berpengalaman luas dan berjawatan utama dalam parti juga tidak digunakan sepenuhnya bagi membantu perkembangan Bersatu.

“Kami seolah-olah dipinggirkan dan potensi sebenar tidak dapat diserlah yang akhirnya merupakan kerugian untuk Bersatu.”


Dalam menolak dakwaan beliau menyertai PBM ketika masih bersama Bersatu, Zuraida meminta pejabat se­tia­usaha agung mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan itu.

“Perhubungan, aktiviti dan pergerakan saya di luar kapasiti politik bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang saya tubuhkan seawal 2018 bagi mengeratkan hubungan saya dengan komuniti di seluruh negara dan perkara itu tidak boleh dijadikan asas kepada tuduhan ini.

“Keputusan majoriti pimpinan PKR untuk menyertai PBM tidak wajar dipalitkan secara langsung ke atas diri saya,” katanya.

-FMT