Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes penyakit HFMD meningkat 24 kali ganda, Selangor tertinggi


KUALA LUMPUR – Sebanyak 57,510 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan sejak 1 Januari lepas hingga semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia merupakan peningkatan 24 kali ganda bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu 2,333 kes.

Menurutnya, bilangan kes mingguan terus meningkat dengan julat kes dilaporkan antara 1,500 ke 15,000 seminggu atau 300 hingga 2,000 kes sehari.

“Sehingga semalam hanya dua kanak-kanak disahkan dijangkiti HFMD dan mengalami gejala teruk serta memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kedua-dua kes ini positif virus enterovirus 71 (EV71). Pada 25 Mei (semalam), kanak-kanak pertama beransur pulih dan tidak memerlukan bantuan pernafasan lagi, namun masih dipantau di ICU, manakala kes kedua masih lagi memerlukan bantuan pernafasan tetapi dalam keadaan stabil.

“Survelan virus penyebab HFMD mendapati EV71, Coxsackie A16 (CA16) dan Coxsackie A6 (CA6) adalah virus yang utama yang berada dalam persekitaran Malaysia,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Turut serta pada sidang media sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu Khairy berkata, peningkatan kes mula melebihi paras waspada iaitu 878 pada minggu epidemilogi (ME) 11/2022 (13 hingga 19 Mac lalu) apabila sebanyak 895 kes dilaporkan.

Jelasnya, kes HFMD semakin meningkat sehingga melebihi paras amaran iaitu 1,215 pada ME14/2022 (3 hingga 9 April lalu) apabila sebanyak 1,653 kes dilaporkan.

Tambah beliau, peningkatan kes ketara itu berlaku sejak April lepas berikutan pembukaan aktiviti sosial, termasuk sesi kehadiran penuh sekolah, taska, tadika dan tabika.

“Selain itu, kebersihan diri yang tidak terjaga terutama amalan mencuci tangan, penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka boleh menyebabkan berlakunya jangkitan HFMD,” katanya.

Menurut Khairy, lima negeri yang mempunyai bilangan kes tertinggi ialah Selangor dengan 16,286 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (7,298 kes), Perak (5,045 kes), Kelantan (4,194 kes) dan Sabah sebanyak 3,829 kes.

Kes paling banyak dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, iaitu 52,846 kes manakala kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun adalah sebanyak 3,741 kes, katanya.

“Kumulatif kejadian wabak HFMD tahun ini sehingga 25 Mei (semalam) adalah sebanyak 1,370 dengan bilangan kes sebanyak 5,203 kes daripada jumlah keseluruhan kes. Selebihnya adalah kes sporadik,” ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengusaha dan pengasuh taska, tadika dan tabika supaya sentiasa memastikan kebersihan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak dibersihkan.

Selain itu beliau berkata, mereka perlu membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

“Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada rakannya,” tambahnya. 

– MalaysiaGazette