PETALING JAYA: Nazri Aziz menggambarkan lembaga disiplin Umno sebagai “takut” untuk mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak mengikut keputusan parti.
Beliau yang juga ahli Parlimen Padang Rengas berkata, lembaga disiplin juga perlu tegas dan mengambil tindakan terhadap langkah yang diambil oleh Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li.
Katanya, Umno telah membuat keputusan untuk menyokong kerajaan sedia ada namun Ku Li memilih untuk kekal berada di blok bebas.
“Surat dia (Tengku Razaleigh) kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat sudah cukup sebenarnya untuk kita mengambil tindakan terhadap dia, sebab dia tidak lagi menyokong kerajaan hari ini dengan perdana menterinya daripada Umno, melawanlah tu namanya.
“Itu masalah kita, kita takut untuk mengambil tindakan. Ambil sahaja tindakan tidak kira siapa yang membuat kesalahan. Kita tengok dalam keadaan tertentu senang sahaja lembaga disiplin Umno buang orang tertentu, tetapi bila kena pada Tengku Razaleigh, lembaga disiplin Umno takut nak ambil tindakan.
“Ini menyebabkan orang hilang keyakinan kepada Umno. Kena tegaslah. Apabila dia menulis surat kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat meminta untuk ubah kerusi dia (ke blok bebas), itu satu kenyataan bahawa dia tidak lagi bersama dengan kita (Umno). Itu saja,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Pada 27 Jul tahun lalu, Ku Li memohon untuk menukar tempat duduk dalam Dewan Rakyat ke blok bebas.
Perkara itu dinyatakan dalam surat rasmi dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, bertarikh 26 Jul 2021.
Ku Li juga kini dilaporkan akan mengetuai gabungan kerjasama yang dinamakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan dalam usaha menumbangkan kerajaan PAS menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakob, menegaskan tindakan Ku Li itu bersifat peribadi yang tidak mewakili Umno Kelantan.
Malah, Jazlan juga memaklumkan kepada media bahawa tindakan Ku Li itu akan dirujuk kepada pimpinan tertinggi Umno.
-FMT