Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Saya tak pecat dia, Zuraida masih Menteri Kabinet' -PM


KUALA LUMPUR – “Masih terlalu awal untuk saya membuat keputusan mengenai peletakan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, Zuraida masih lagi menjawat jawatan menteri Kabinet sehingga satu keputusan dibuat tidak lama lagi.

“Tunggu saya balik, dan saya akan panggil dia untuk berbincang kemudian baru saya buat keputusan.

“Setakat hari ini dia (Zuraida) masih lagi boleh menghadiri mesyuarat Kabinet, sebab dia tidak letak jawatan sebagai Menteri Kabinet dan saya pun pecat dia,” katanya dalam sidang media bersama wartawan di Jepun, hari ini.

Ismail diminta mengulas mengenai tindakan Zuraida yang meletakkan jawatan menteri Kabinet dan juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kelmarin.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, beliau akan bertemu Ismail Sabri dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai jawatannya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Zuraida masih perlu hadir dalam mesyuarat Kabinet yang akan diadakan pada Rabu depan.

“Dia masih lagi menteri Kabinet sehingga mesyuarat hari Rabu akan datang dan sehingga dia berjumpa saya dan walaupun dia akan jumpa saya, saya tidak tahu nak buat keputusan atau tidak.


“Maknanya sehingga saya memutuskan untuk dia berhenti dan saya lantik menteri lain, kalau saya lantik menteri yang lain. Jadi kita tidak tahu lagi apa kesudahannya,” kataya lagi.

Ditanya samada beliau kecewa dengan keputusan yang diambil Zuraida, Ismail Sabri berkata, perkara itu sudah berlaku dan beliau harus terus bekerja demi Keluarga Malaysia.

“Dah tidak boleh buat apa sebab perkara itu sudah disebut, jadi kita kena pandang ke hadapan untuk keputusan seterusnya,” katanya menjawab pertanyaan media samada beliau sedih atau kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen Ampang itu. 

– MalaysiaGazette

video: