Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan sekali lagi menggesa semua peguam untuk menghadiri tunjuk perasaan "Perarakan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman" yang berlangsung pada Jumaat ini (17 Jun) di Kuala Lumpur.
Ini berlaku di tengah-tengah dakwaan awal bulan lalu mengenai gangguan terhadap badan kehakiman.
“Panggil semua peguam! Bersedia untuk salah satu perjalanan paling penting dalam kerjaya anda.
“Berjalan untuk kebebasan badan kehakiman Jumaat ini (17 Jun) jam 10 pagi, Padang Merbok! Tolong tweet semula!” kata Ambiga menerusi Twitternya hari ini.
Pada awal Mei, sekumpulan bekas presiden Badan Peguam termasuk Ambiga menggesa satu lagi "perarakan untuk keadilan" diadakan.
Mereka memulakan petisyen dalam talian yang menyeru Majlis Peguam untuk menganjurkan perarakan bagi menghantar mesej yang jelas kepada mereka yang "berusaha untuk campur tangan" dalam badan kehakiman.
Selain Ambiga, penganjur lain petisyen itu ialah bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Lim Chee Wee dan Steven Thiru.
Sudah melampaui batas
Penghujung April lalu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata kritikan terhadap badan kehakiman telah melampaui batas.
Ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berikutan kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.
Nazlan juga telah didakwa mempunyai kaitan dengan penubuhan SRC dimana ketika itu beliau bekerja dengan Maybank.
Nazlan, ketika berkhidmat sebagai hakim mahkamah tinggi, telah mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa dalam kes SRC.
-Malaysiakini