Kerajaan setuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Wan Junaidi berkata, ia akan digantikan dengan hukuman lain tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Keputusan itu dicapai selepas Wan Junaidi membentangkan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori ketika mesyuarat Kabinet Rabu lalu.
"Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor jawatankuasa yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.
"Jemaah menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah," katanya dalam kenyataan hari ini.
-MalaysiaKini