PELAKON popular, Sharnaaz Ahmad meminta tidak ada mana-mana pihak membuat spekulasi berhubung penahannya susulan kes pukul di sebuah kondominium pada Khamis lalu.
Menurut Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, dia akan membuat sidang media dalam masa terdekat bagi menerangkan situasi sebenar, sekali gus membersihkan namanya dan keluarga.
"Saya tidak bodoh untuk buat sesuatu begitu. Kepada sesiapa yang membuat spekulasi mengatakan Sharnaaz panas baran, tunggu cerita sebenar, saya akan buat sidang media.
“Panas baran adalah satu benda yang sangat sinonim dengan saya. Tapi apa yang saya boleh katakan di sini, tiada unsur panas baran yang berlaku di sini.
“Saya hanya buat apa yang saya rasa perlu. Kenyataan yang keluar hanya dari sebelah sana.
"Apa yang digembar-gemburkan di media sosial itu tidak benar,” katanya yang ditemui selepas dibebaskan dengan jaminan polis di Ibu Pejabat Polis Sentul, Kuala Lumpur pada Isnin.
Pelakon itu ditahan reman selama tiga hari bermula Sabtu lalu selepas didakwa menumbuk dan menendang seorang lelaki yang juga penghuni kondominium tersebut.
Dalam pada itu, Sharnaaz turut berterima kasih kepada pihak polis atas layanan baik yang diberikan sepanjang tempoh tahanan.
Katanya, dia kini hanya menunggu dipanggil oleh mahkahmah untuk proses selanjutnya.
"Tiga hari dalam lokap, lebih kepada siasatan. Banyak juga pengajaran yang saya dapat.
"Saya juga berterima kasih kepada pihak polis atas layanan yang diberikan," ujarnya yang bergegas untuk berjumpa anaknya, Jebat Jayden, 4, sebaik dibebaskan.
Dalam pada itu, meninjau ke hantaran terbaharu Sharnaaz, ramai rakan artis dan pengikut Instagramnya memberi kata-kata semangat kepada pelakon dan usahawan itu.
-Beautiful nara
video: