Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes SRC: Batal atau bicara semula


KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn. Bhd. berpotensi dibicarakan semula atau dibatalkan secara muktamad.

Kemungkinan itu boleh berlaku sekiranya Mahkamah Persekutuan menerima permohonan difailkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bagi memasukkan bukti baharu bagi membatalkan perbicaraan penyelewengan dana milik syarikat itu.

Permohonan tersebut difailkan atas dakwaan berikutan wujud konflik kepentingan membabitkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang mendengar dan memutuskan perbicaraan kes itu. Hakim Mohd. Nazlan kini Hakim Mahkamah Rayuan. 

Peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bukti baharu yang ingin dikemukakan adalah fakta yang menunjukkan pada tahun 2006,  Mohd. Nazlan adalah peguam dan setiausaha syarikat Maybank yang bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang. 

Bukti baharu yang ingin dimasukkan ialah, Mohd. Nazlan terlibat atau mempunyai pengetahuan mengenai peranan Maybank dalam menasihati sewaktu pembentukan SRC International ketika memegang jawatan tersebut di institusi perbankan itu.

“Mohd. Nazlan dengan sengaja gagal mendedahkan peranan atau penglibatannya atau pengetahuan tentang peranan pelaburan Maybank melalui Bina Fikir Sdn. Bhd. dalam penubuhan SRC. 

“Mohd. Nazlan juga sebagai peguam dan setiausaha syarikat Maybank juga merupakan ketua perkhidmatan korporat dan perundangan. Dengan kedudukan ini, beliau pasti mempunyai pengetahuan secara tidak langsung tentang kemudahan pinjaman RM140 juta diberikan oleh Maybank kepada PPD. (Putra Perdana Development),” katanya kepada pemberita semasa sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. 

Dalam perbicaraan kes SRC International sebelum ini, wang RM140 juta yang diselewengkan telah dilencongkan ke dalam akaun PPD sebelum dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

Berdasarkan penglibatan dan pengetahuan Hakim Mohd. Nazlan ketika bertugas di Maybank, hakim terbabit sebenarnya ‘berpotensi’ menjadi saksi dalam kes-kes yang dihadapi Najib.

“Hakim Mohd. Nazlan telah gagal mengabaikan atau tidak membuat pengisytiharan berhubung  penglibatan, pengetahuan atau minat kepada pihak terlibat dalam kes ini walaupun beliau mempunyai pengetahuan tentang penglibatannya dalam urusan pinjaman 1MDB selain maklum bahawa Najib sedang didakwa dan dibicarakan di mahkamah berbeza yang mana beliau boleh menjadi saksi. 

“Beliau juga sedar bahawa SRC pada satu masa dahulu dimiliki sepenuhnya oleh 1MDB dan kemudian dimiliki secara langsung oleh MOF Inc seperti kes 1MDB. Oleh itu, SRC dan 1MDB ialah syarikat bersekutu yang mempunyai pemegang saham yang sama,” katanya. 

“Dapatan Nazlan bahawa Najib mengawal penuh SRC International bagi memenuhi kepentingan diri sendiri adalah tidak masuk akal dan tidak berasas,” katanya. 

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari bermula 15 hingga 26 Ogos ini bagi pendengaran rayuan akhir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk mengetepikan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC International Sdn. Bhd.


Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta.

Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Keputusan sebulat suara itu (unanimous) dibuat selepas mendapati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali adalah selamat dan tidak perlu diubah. 

– UTUSAN