Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyarankan golongan yang layak untuk mengambil dos penggalak kedua vaksinasi Covid-19 sebagai persediaan menghadapi gelombang seterusnya.
Kata Khairy, gelombang baru yang tidak dapat dielakkan diramalkannya akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
Jelas Khairy, ramalan terhadap satu lagi gelombang jangkitan Covid-19 adalah berdasarkan perkembangan epidemiologi di negara lain.
“Dos penggalak kedua amat digalakkan terutamanya bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas serta mereka yang menghidap penyakit kronik kerana kita tahu walaupun kes Covid-19 kini terkawal, seperti yang saya katakan berkali-kali, kes itu akan tetap berlaku, datang dan pergi, pasti ada gelombang yang datang dari semasa ke semasa.
“Mungkin dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, kita akan mengalami gelombang baru.
“Mengenai berapa besar gelombang itu, kita tidak tahu lagi, tetapi yang pasti berdasarkan perkembangan epidemiologi di negara lain, gelombang baru diramalkan akan berlaku,” kata Khairy dalam sidang media di Hotel Eastin di Petaling Jaya hari ini.
Kerajaan telah mengumumkan bahawa beberapa kumpulan akan layak menerima dos penggalak kedua pada bulan April, termasuk individu berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai komorbiditi berisiko tinggi.
Kes Covid-19 di negara ini berlegar antara 1,500 hingga sedikit melebihi paras 2,000 sehari sejak 14 hari lalu. Pada 19 Jun buat kali pertama dalam 18 bulan tiada kematian bari dicatatkan.
-Malaysiakini