Seorang anggota Pemuda DAP Pulau Pinang didakwa di mahkamah hari ini selepas dia terbabit melakukan protes terhadap lawatan Najib Razak ke negeri itu pada Mac lalu.
Lim Zheng Han, 25, didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
Dia didakwa mengeluarkan kata-kata kesat dengan tujuan memprovokasi dan mencetuskan kekecohan di kawasan medan selera di Bukit Mertajam kira-kira jam 2 petang pada 25 Mac.
Pendakwaan ke atas anggota Jawatankuasa Pemuda DAP Bukit Mertajam itu dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 jika sabit kesalahan.
Lim mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di depan majistret Hasliza Razak. Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM500.
Hasliza kemudian menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan kes berkenaan.
Ketika dihubungi, peguam Lim, RSN Rayer, berkata pada awalnya pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM1,000.
Bagaimanapun, kata Rayer, dia berhujah dengan menegaskan Lim hadir mengikuti prosiding mahkamah secara sukarela, justeru tiada keperluan untuk dikenakan wang ikat jamin.
Rayer turut mempersoalkan motif di sebalik pertuduhan ke atas Lim dengan alasan apa yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan kenyataan hakim Mahkamah Rayuan yang menyatakan Najib sebagai suatu keaiban negara pada Dis tahun lalu.
"Mengapa dia didakwa hanya kerana menyatakan apa yang sudah disebut hakim?" katanya.
Sementara itu Lim pula memberitahu media dia keliru dan berasa marah dengan pertuduhan yang dikenakan kerana berpendapat provokasi sebenarnya datang daripada penyokong Najib.
"Saya boleh saja menyelesaikan kes ini di mahkamah dengan membayar denda RM1,000 tetapi ini bukan soal wang, sebaliknya moral dan prinsip.
"Sebab itu saya mengaku tidak bersalah dan akan terus bersuara demi keadilan," katanya.
-Malaysiakini