Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

MB Negeri Sembilan bersedia pembubaran DUN


SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan akan bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan selepas Bajet 2023 dibentangkan pada Oktober depan.

Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu mengambil kira jangka masa yang hampir sehingga tempoh penggal tamat pada pertengahan tahun hadapan.

“Sekiranya ada pilihan raya (pada waktu itu) kerajaan negeri akan buat keputusan, jika pilihan raya pada November, ia hampir dengan tamat tempoh kita, akan pertimbangkan, tengok macam mana.

“Keenam-enam negeri akan berbincang, supaya ada keputusan bersama, sama ada pilihan raya itu disekalikan dengan pilihan raya di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjangkakan masa terbaik untuk PRU15 diadakan adalah sebaik sahaja Bajet 2023 dibentangkan pada Oktober nanti.

Pada Mac lalu, menerusi kenyataan, Majlis Presiden PH membuat keputusan dan menegaskan tiada sebarang cadangan pembubaran DUN di negeri-negeri yang ditadbir gabungan itu sehingga tamat tempoh pada tahun hadapan.

Sebelum itu, Pas juga memutuskan untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah hingga tamat tempoh ketiga-tiganya sekiranya PRU15 diadakan pada masa terdekat.


Aminuddin dalam pada itu memberitahu, beliau tetap berpandangan bahawa PRU15 perlu diadakan setelah tempoh penggal Parlimen dan DUN di negeri-negeri tamat dan tidak wajar ia diadakan ketika rakyat masih lagi memerlukan bantuan termasuk terbeban dengan peningkatan kos hidup.

“Saya harap biarlah sampai ke hujung (tamat tempoh penggal), selepas kita dapat bantu semua rakyat, kemudian kita serahkan kepada mereka dan menghormati demokrasi. Kita tidak mahu nanti, rakyat rasa kecewa dan apabila buat pilihan raya umum, mereka tidak keluar mengundi,” katanya.

 – UTUSAN