KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Ahli Parlimen Jeli yang menang atas tiket UMNO sebelum melompat masuk ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyerahkan dana sebanyak RM30 juta kepada isterinya untuk dimasukkan ke dalam akaun peribadi.
Presiden UMNO mendakwa wang itu digunakan untuk membawa balik para pengundi Kelantan yang sedang bermaustatin di luar untuk pulang mengundi namun dana itu tidak digunakan untuk tujuan tersebut.
Perkara itu telah dihidu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.
“Saya bukan cakap ini sekadar hearsay. Saya tahu atas kapasiti sebagai Presiden UMNO. Saya difahamkan dana itu tidak digunakan untuk tujuan logistik seperti yang sepatutnya sebaliknya telah diserahkan kepada isterinya untuk dimasukkan dalam akaun peribadi.
“Beliau kemudian jadi takut ianya mungkin akan disiasat maka membuat keputusan untuk melompat sahaja ke Bersatu.
Manakala satu lagi Ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali juga telah melompat kerana takut adanya siasatan terhadap beliau yang telah menyalahgunakan peruntukan Parlimen dengan melantik adiknya sebagai pegawai khas. Saya ada lihat sendiri beberapa dokumen berkaitan penyelewengan itu.
Ini juga adalah akuan bersumpah saya terhadap tiga Ahli Parlimen UMNO yang melompat masuk ke Bersatu kerana takut disiasat. Saya ada fakta,” katanya ketika pemeriksaan utama prosiding pembelaan kes rasuah Yayasan Akalbudi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah di sini hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berdepan dengan 47 pertuduhan melibatkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan yang diasaskan olehnya.
Bekas Menteri itu telah diperintah membela diri atas semua pertuduhan itu pada 24 Januari selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
-MalaysiaGazette