PETALING JAYA: Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, pihaknya terpaksa menaikkan tambang bagi menampung kenaikan mendadak kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan.
Katanya, pengusaha bas sekolah tersepit dengan peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga alat ganti dan tayar yang tidak terkawal.
Beliau mendakwa keadaan itu turut menyebabkan hampir 60% pengusaha bas sekolah “gulung tikar” kerana tidak mampu lagi menanggung peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan, selepas dua tahun kenderaan tersadai akibat penularan pandemik.
“Ibu bapa sedia maklum dengan kos operasi yang terlalu tinggi sekarang. Cuma saya jangkakan pengusaha akan bagi kelonggaran. Contohnya, dalam satu keluarga itu sekiranya ada lima orang naik bas yang sama, seorang sahaja yang akan dinaikkan tambang,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Selain kenaikan mendadak kos operasi dan penyelenggaraan, Rofik berkata, industri itu turut menghadapi masalah kekurangan pemandu, sama ada pemandu bas sekolah atau bas ekspres.
“Boleh dikatakan 80% dulunya pemandu bas, sekarang sudah bawa lori. Bila sudah bawa lori, mereka tak mahu bawa bas sekolah semula.”
-FMT