Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Semakan Kes Batu Puteh: Tun M tinggalkan sesi wawancara


PUTRAJAYA: Sesi temu bual membabitkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara (JPN), di sini hari ini tidak berlangsung seperti dirancang.

Ia berikutan alasan Dr Mahathir yang mempertikaikan kedudukan Tan Sri Mohamed Apandi Ali selaku pengerusi jawatankuasa terbabit yang disifatkannya tidak wajar.

Jawatankuasa itu dibentuk bagi membuat semakan semula undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dr Mahathir yang tiba kira-kira jam 11.40 pagi keluar meninggalkan perkarangan JPN dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

Ketika ditemui media, Dr Mahathir berkata beliau tegas dengan pendirian untuk tidak akan memberikan sebarang kerjasama sehingga Mohamed Apandi diganti.

"Apandi adalah individu yang terlibat dalam kes ini dan dia tidak patut dilantik sebagai pengerusi.

"Dia sepatutnya lebih layak menjadi saksi tetapi telah dilantik sebagai pengerusi. Ia adalah sesuatu yang mengarut," katanya.

Jelasnya surat untuk memohon penukaran kedudukan Apandi sebelum ini telahpun dihantar namun katanya tiada sebarang jawapan.


Perkara itu menurutnya penting kerana kedudukan Apandi pada kerusi tersebut lebih cenderung menimbulkan konflik kepentingan tertentu.

Dalam masa yang sama katanya siapa sahaja layak untuk dilantik menggantikan Apandi selagi ia mampu memberikan ketelusan dan jaminan keadilan.

Kebelakangan ini pelbagai pihak tampil menempelak kenyataan yang dibuat oleh Tun Mahathir yang mendakwa kehilangan Pulau Batu Puteh adalah atas kesilapan kerajaan negeri Johor sendiri.

-Awani