KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) disaran menambah jumlah koc Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang, terutama pada waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan di stesen pengangkutan awam berkenaan serta kepadatan penumpang dalam gerabak.
Keadaan ini berbeza dengan perancangan ketika era Kerajaan sebelum ini iaitu Pakatan Harapan yang lebih memikirkan bagaimana untuk jimatkan kos perbelanjaan kerajaan seperti mengurangkan gerabak (koc) dan mengurangkan jumlah stesen LRT tanpa memikirkan jumlah penambahan kepadatan penduduk pada masa hadapan.
Rata-rata pengguna yang ditemui, mendakwa stesen LRT utama khususnya di ibu negara biasanya penuh dengan pengguna pada hari bekerja yang turut menyebabkan gerabak padat dengan penumpang
Pekerja swasta, Zalikha Anis, 25, berkata beliau baru mencuba menggunakan perkhidmatan berkenaan sejak sebulan lalu dan mendapati hampir setiap hari bekerja, LRT dipenuhi penumpang .
"Saya pernah dua kali lambat tiba di tempat kerja kerana tak dapat masuk ke dalam gerabak yang terlalu padat dengan penumpang walaupun saya datang awal ke stesen. Jadi, saya harap jumlah gerabak ditambah supaya kepadatan penumpang di dalamnya dan kesesakan di stesen dapat dikurangkan," katanya.
Pagi semalam, ramai penumpang yang mahu ke tempat kerja terkandas akibat kesesakan luar biasa pada waktu puncak di Stesen LRT Pasar Seni dan turut tular di media sosial selepas warga maya berkongsi keadaan di stesen berkenaan.
Sementara itu, pekerja bank, Afiqah Abdullah, 24, berkata kesesakan di stesen LRT dilihat makin memuncak bermula dua minggu lalu, dipercayai apabila semakin ramai sudah mula bekerja di pejabat dalam fasa peralihan ke endemik.
"Selalunya jika terlampau sesak, saya akan cari cara lain untuk ke tempat kerja. Semalam keadaan di stesen sangat sesak sehingga sukar dikawal, jadi saya memilih naik bas," katanya.
Tinjauan di Stesen LRT Pasar Seni pagi tadi mendapati kesesakan penumpang bermula kira-kira jam 7.45 hingga 9.15 pagi, namun keadaan terkawal dengan kehadiran anggota Polis Bantuan dan petugas syarikat pengendali.
Penumpang dibahagikan mengikut laluan LRT dengan kumpulan 20 orang dilepaskan dalam satu masa untuk ke platform menunggu. Walaupun beratur panjang, pergerakan penumpang dari LRT ke Transit Aliran Massa (MRT) dan sebaliknya dilihat lancar.
Seorang petugas di stesen berkenaan berkata, kawalan sedemikian pernah dibuat ketika negara dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memastikan pengguna mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Kaedah ini dilaksanakan kerana platform di atas terlalu sesak apabila terdapat pertembungan di antara penumpang yang keluar tren dengan mereka yang masuk. Kami berusaha sebaik mungkin membantu memudahkan perjalanan penumpang," katanya.
-BHOnline/TunCarlos