Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tommy Thomas harus cermin diri sendiri, kata Anwar


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata walaupun dia terbuka kepada kritikan, Tommy Thomas juga perlu bercermin diri kerana membuat kenyataan tidak bijak semasa menjadi peguam negara serta kandungan dalam bukunya yang sangat kontroversi 'My Story: Justice in Wilderness'.

Presiden PKR itu mengulas kenyataan Thomas yang sebelum ini berkata Anwar perlu melihat cermin dan bertanya kepada dirinya sendiri mengapa dia masih belum menjadi perdana menteri.

"Tommy Thomas harus juga melihat ke cermin kerana dalam masa dia ada menjalankan tugas dan dalam buku dia, unsur-unsur perkauman tebal, unsur-unsur menghina keupayaan pejawat awam termasuk AGC (Jabatan Peguam Negara), keseluruhannya yang saya sebut, masalah over-generalisation.

"Tak boleh begitu. Takkan dalam ribuan tak ada seorang yang layak? Ini pandangan kolonial yang kita tolak.,” kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Anwar berkata Thomas juga "menyerang" bekas perdana menteri Tun Razak Hussein tanpa sebarang bukti.

Walaupun dia tidak menjelaskan secara terperinci, dipercayai ia merujuk kepada bahagian dari buku Thomas di mana bekas peguam negara itu mengaitkan Tun Razak dalam rusuhan 13 Mei 1969.

Thomas juga mengulas mengenai kes mahkamah yang sedang berjalan semasa dia masih menjadi peguam negara, kata Anwar.

"Jadi ada juga kurang kebijaksanaan yang memerlukan dia melihat ke cermin. Kalau dia cakap kenapa Anwar kena tengok (cermin), saya okay, saya adil, saya boleh dengar kritikan.


“Jika dia mencadangkan fakta bahawa Anwar tidak berjaya (menjadi) perdana menteri, saya boleh beritahu dia saya akan menjadi perdana menteri jika saya berkompromi, ya kepada rasuah, ya untuk campur tangan mahkamah, maka saya akan menjadi perdana menteri. Tiada siapa boleh mempertikaikan itu, tetapi saya menolak.

"Adakah itu kegagalan, atau pada fikiran saya, pendirian berprinsip?" soal Anwar.

Sebelum ini, Thomas dilaporkan berkata Anwar harus muhasabah diri mengenai mengapa dia masih tidak berjaya menjadi perdana menteri.

-MalaysiaKini