WASHINGTON: Bekas isteri kepada mantan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Ivana Trump meninggal dunia pada usia 73 tahun.
Berita sedih itu dikongsi Donald Trump di laman sosial Truth Social pada Khamis.
"Dengan hati yang berat saya ingin memaklumkan Ivana Trump telah meninggal dunia di rumahnya di New York," katanya.
Pasangan itu berkahwin pada tahun 1977 dan mempunyai tiga orang anak iaitu Donald Jr, Ivanka, dan Eric.
Namun mereka bercerai pada tahun 1992.
Punca kematian Ivana bagaimanapun tidak didedahkan.
Ivana berasal dari Czechoslovakia sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat dan merupakan seorang model dan juga bekas atlet kebangsaan negara itu.
Beliau memainkan peranan penting dalam karier awal Donald Trump pada tahun 1980-an.
Antara kejayaannya adalah pembangunan Trump Tower yang terletak di Fifth Avenue, Manhattan dan beberapa lagi projek berprofil tinggi seperti Trump Taj Mahal Casino Resort di Atlantic City, New Jersey.
Ivana merupakan naib presiden juruhias dalaman Organisasi Trump dan mengendalikan bangunan bersejarah Plaza Hotel yang dibeli mereka pada tahun 1988.
Ivana meninggalkan ibunya, tiga orang anak serta 10 cucu.
-Awani