Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

JAWI ambil pendekatan ta'dib, bebaskan Nuramira


Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan membuat keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Siti Nuramira Abdullah bagi mengelakkan wanita itu dituduh di dua mahkamah berbeza.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pendakwa Syarie jabatan itu berkata keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap wanita itu berdasarkan Seksyen 58 (2) Akta 505 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan Seksyen 181 Akta 560 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutan) 1997.

“Pertuduhan jenayah sudah dimulakan di mahkamah sivil pada 13 Julai lalu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan. Maslahah dari sudut pentadbiran keadilan bagi mengelakkan tertuduh dituduh di dua mahkamah berbeza bagi mencapai matlamat sama iaitu untuk dihukum atas kesalahan yang dilakukan.

“Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat. Sesuai dengan maqasid (matlamat) syariah yang menekankan pendekatan ta’dib dalam pentadbiran jenayah syariah diharap dapat membawa kembali tertuduh ke arah amalan Islam sebenar,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kes berkenaan sudah didaftarkan pada 13 Julai lepas berdasarkan siasatan awal yang dijalankan terhadap Siti Nuramira dan sebutan pertama ditetapkan pada 14 Julai tetapi ditangguhkan pada 21 Julai (esok).

Siti Nuramira ditahan semalam oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sejurus dibebaskan dengan jaminan atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan umat Islam, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Wanita itu sepatutnya dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, tetapi telah dibebaskan JAWI malam tadi.

Isnin lepas, Nuramira dan teman lelakinya V. Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai.


Pada 13 Julai lepas, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengaku bahawa dia adalah seorang Muslim yang telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudian bertindak membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Perbuatan itu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dalam kalangan penganut agama Islam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 6 petang, 4 Jun lepas.

-Malaysiakini