Gua Musang: Mayat lelaki yang ditemukan berbungkus dengan permaidani dan diikat dengan tali berdekatan kolam air panas di Gua Musang-Lojing di sini, kelmarin dipercayai warga asing.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, ia berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan selama tiga jam mendapati tiada tanda suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemukan pada mayat berkenaan.
Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia lebih daripada 36 jam kerana sudah reput dan berulat.
"Mangsa ditemui memakai baju biru lengan panjang dan kain sarung serta terdapat tatu burung pada lengan kanan," katanya dihubungi hari ini.
Beliau berkata, hasil bedah siasat juga menunjukkan tiada sebarang kecederaan dan perbuatan jenayah dikesan pada mayat mangsa.
"Mangsa dipercayai mati di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di lokasi mayatnya ditemui. Setakat ini kita belum mengetahui usia mangsa.
"Lokasi mayat dijumpai adalah kawasan jauh dari kawasan kejiranan. Setakat ini, tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Kata beliau, mayat ditemui seorang lelaki yang kemudiannya menghubungi Balai Polis Lojing jam 8.30 malam kelmarin.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 29 saat di aplikasi Tik Tok mengenai penemuan mayat dalam keadaan berbungkus dan dipercayai sudah berulat berdekatan kolam air panas laluan Gua Musang-Lojing
-mynewshub