Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pengasas Kelab Komedi Crackhouse kena tahan lokap



PETALING JAYA: Pelawak Rizal van Geyzel ditahan bagi membantu siasatan berkait tiga video yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Peguam Rizal, Ramkarpal Singh, berkata pengasas bersama Crackhouse Comedy Club itu akan bermalam di lokap Dang Wangi.

“Dia ditahan sekitar tengah hari tadi selepas memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi,” kata Ramkarpal kepada FMT.

Rizal akan dibawa ke mahkamah pagi esok untuk perintah reman.

Sementara itu, sumber polis mengesahkan bapa kepada empat anak itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 Bukit Aman.

Siasatan terhadap Rizal dibuat sehari selepas seorang wanita yang menimbulkan kontroversi semasa persembahan komediri didakwa menghina Islam.

Wanita itu, Siti Nuramira Abdullah bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran, seorang penulis bebas, juga didakwa memuat naik kandungan jelik di media sosial.


Wanita berusia 26 tahun itu mencetuskan kemarahan di media sosial selepas video dia menanggalkan tudung dan baju kurungnya sehingga terdedah pakaian di dalamnya yang mendedahkan aurat, tular.

Dia memperkenalkan diri sebagai seorang Muslim dan mendakwa menghafal 15 juzuk al-Quran.

Crackhouse Comedy Club mengecam tindakan itu dan melarang pasangan terbabit kembali ke premisnya. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kemudian menggantung operasi kelab itu.