Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis siasat insiden mesyuarat PKR Sg Buloh bertukar kecoh


Polis memulakan siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di pejabat PKR Sungai Buloh di Kota Damansara malam tadi.

Menurut sumber, kejadian 9.40 malam itu berlaku ketika cabang PKR itu baru sahaja menangguhkan mesyuarat pimpinan pertamanya, yang diadakan selepas pemegang jawatan baru diumumkan sebagai pemenang dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Difahamkan bahawa seorang ahli jawatankuasa telah membuat laporan polis di Petaling Jaya pagi tadi, mendakwa seorang polis yang tidak bertugas, yang bekerja sebagai pemandu kepada seorang ahli politik terkemuka, telah menceroboh masuk ke bilik mesyuarat tanpa kebenaran.

Lelaki itu kemudian didakwa cuba memaksa beberapa ahli jawatankuasa cabang mengikutinya untuk perbincangan di tingkat bawah. Terdapat dakwaan dia membawa "stun gun" dan diiringi dua lagi anggota polis berpakaian biasa.

Sebelum kejadian, sekumpulan pemimpin cabang yang dipilih dikatakan telah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap Ketua Cabang R Sivarasa, yang didakwa mahu mereka menyokong senarai 11 nama yang dipilihnya untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa.

Timbalan Ketua Cabang Shatiri Mansor dalam satu kenyataan berkata 11 daripada mereka kemudiannya membantah rancangan Sivarasa itu, dengan alasan mereka sepatutnya dirujuk terlebih dahulu.

"Pukul 9 malam patutnya mula di bilik mesyuarat cabang Sungai Buloh. Sampai di sana saya diberi senarai nama lantikan-lantikan ketua cabang, yang tanpa pengetahuan kami pun. Dia nak umum saja pun seramai tambahan 11 orang, dan mereka pun dah ada dalam mesyuarat.

"Kami tak puas hati kerana nama-nama tidak dipilih melalui konsultasi atau perbincangan dalam mesyuarat yang sepatutnya dihadiri mereka yang telah menang (pemilihan)," katanya.

Shatiri berkata keadaan kemudian menjadi tegang, sebelum Sivarasa didakwa memanggil beberapa anggota polis ke tempat kejadian.

Menjawab dakwaan itu, Sivarasa ketika dihubungi Malaysiakini menafikan dakwaan bahawa anggota polis terbabit adalah pemandunya.

Menurutnya, seorang anggota polis berpakaian biasa hanya kebetulan berada di luar restoran di bawah pejabat cabang itu, dan telah naik untuk memeriksa apabila mendengar kekecohan.

“Saya dimaklumkan dia naik ke atas (ke bilik mesyuarat) kerana bunyi bising (orang bertengkar), yang boleh didengarinya dari restoran di bawah.

"Apabila anggota polis bertanya kepada saya mengenai keadaan itu, saya memaklumkan kepadanya bahawa mesyuarat telah ditangguhkan dan tiada masalah," kata Sivarasa.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata dia tidak melihat polis itu memegang sebarang senjata seperti yang didakwa.

Sivarasa bagaimanapun enggan mengulas dakwaan Shatiri bahawa dia mahu melantik 11 ahli jawatankuasa pilihannya.


"Maaf. Saya percaya itu adalah perkara dalaman parti yang sepatutnya hanya dibincangkan dalam parti dan bukan di ruang awam," katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang meneliti kes berkenaan.

“Laporan itu dibuat oleh salah seorang individu yang menghadiri mesyuarat malam tadi.

“Ia dibuat pagi tadi dan kami masih mengumpul maklumat termasuk merakam kenyataan pengadu,” katanya kepada Malaysiakini.

-Malaysiakini