Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Rayuan Najib: Mahkamah perlu tangani beberapa lagi persoalan unik


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak meminta Mahkamah Persekutuan menerima pengemukaan set dokumen kedua yang, menurut dakwaannya, adalah “keterangan baharu” yang menunjukkan penglibatan Hakim Nazlan Ghazali dalam penubuhan SRC International dan pemberian kemudahan pinjaman RM4.17 bilion kepada 1MDB untuk memperoleh Tanjong Energy.

Dokumen itu termasuk minit mesyuarat dan emel, yang menurut Najib, menunjukkan Nazlan, semasa menjadi peguam dan setiausaha syarikat Maybank, tahu tentang perkara-perkara yang menjadi teras pembelaan Najib dalam perbicaraan SRC International.

Bersandarkan itu, Najib berkata Nazlan sepatutnya menarik diri daripada menghakimi kes itu atas sebab konflik kepentingan.

Dalam afidavit yang difailkan minggu lalu, Najib juga memohon Mahkamah Persekutuan untuk membenarkan peguambelanya memperoleh keterangan lisan daripada empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinamakannya, yang menurut Najib telah menyiasat Nazlan awal tahun ini.

Najib mendakwa, semasa siasatan itu, Nazlan mengesahkan mempunyai “penglibatan” atau “pengetahuan” mengenai dokumen-dokumen berkenaan apabila ditunjukkan kepada beliau.

Permohonan mahkamah itu dibuat ketika Najib merayu kepada Mahkamah Persekutuan supaya membatalkan pensabitan atas tujuh tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan wang, membabitkan dana RM42 juta dikaitkan dengan SRC International.

Mahkamah Rayuan pada 8 Dis lalu mengekalkan pensabitan itu.

Permohonan Najib itu bagaimanapun perlu melepasi beberapa cabaran.

Umumnya, mahkamah akan hanya menerima keterangan baharu sekiranya ia memenuhi beberapa syarat. Pertamanya keterangan baharu itu mestilah tidak tersedia semasa perbicaraan asal meskipun segala usaha munasabah dibuat untuk memperolehinya.

Ini bermakna Najib perlu menjelaskan bagaimana beliau memperoleh dokumen-dokumen itu.

Afidavit Najib mendakwa set dokumen kedua itu terkandung dalam suatu pakej sulit awanama yang diterima di kediaman Langgak Dutanya baru-baru ini, pada 7 Julai. Persoalannya, adakah Mahkamah Persekutuan akan menerima penjelasan ini?

Dalam pada itu, adakah mahkamah akan menganggap keterangan itu diperoleh secara tidak sah, memandangkan besar kemungkinan ia telah digunakan semasa siasatan SPRM? Apakah impak anggapan mahkamah sedemikian ke atas permohonan Najib?

Secara amnya, bahan keterangan yang diperoleh secara tidak sah tetap boleh diterima sekiranya relevan dengan isu yang dipertimbangkan oleh mahkamah.

Namun, kes Najib ini boleh dikatakan unik. Lazimnya tertuduh yang akan membantah sekiranya pendakwaan bergantung kepada keterangan yang diperoleh secara tidak sah demi membuktikan satu jenayah telah berlaku.

Namun, dalam kes ini, terbalik pula keadaannya apabila pihak pembelaan yang memohon keterangan yang disifatkan sebagai sulit dan diperoleh secara tidak sah oleh pendakwaan, dimasukkan sebagai keterangan di mahkamah.

Afidavit Najib mengatakan bahawa beliau “sesungguhnya difahamkan bahawa apabila ditanya oleh pegawai SPRM tentang pengetahuan/penglibatan beliau …, Yang Arif Hakim Nazlan pada mulanya menafikan mempunyai sebarang pengetahuan…., tetapi hanya selepas ditunjukkan jaringan emel dan dokumen-dokumen oleh pegawai-pegawai SPRM, barulah Yang Arif Hakim mengakui bahawa beliau memang terlibat dalam episod itu.”

Beliau kemudian mencabar pendakwaan untuk membuktikan sebaliknya. Adakah penegasan Najib sedemikian memadai untuk mengalihkan beban bukti kepada pendakwaan?

Memang menjadi prinsip undang-undang lazim bahawa dalam keadaan seperti ini, seseorang hakim tidak dibenarkan turun ke gelanggang sama ada untuk mengesahkan atau menafikan apa-apa dakwaan terhadapnya.

Dalam kes seperti ini, adakah pendakwaan pula yang perlu memberi respons terhadap dakwaan Najib mengenai apa yang mungkin diucapkan atau tidak diucapkan Nazlan ketika siasatan SPRM? Bolehkan mahkamah dalam keadaan sedemikian menganggap kengganan atau kegagalan pendakwaan untuk menjawabnya adalah kerana jawapannya memihak kepada Najib?

Selain itu, wujud juga beberapa dasar awam yang perlu dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan. Contohnya, adakah membenarkan keterangan seperti itu akan menggalakkan kebocoran maklumat daripada sumber dalam kalangan pihak berkuasa yang melakukan siasatan?


Perkara ini perlu diimbangkan dengan hak asasi Najib untuk mendapat perbicaraan secara adil yang dijamin perlembagaan negara, sesuatu yang beliau mendakwa telah dinafikan untuk dirinya apabila Nazlan menghakimi perbicaraannya.

Najib mendakwa, pengetahuan tersendiri Nazlan mengenai fakta tertentu menyebabkan hakim itu membuat pra-pengadilan terhadap beberapa bahagian relevan dalam kes itu. Ini termasuk dapatan bahawa Najib mempunyai kawalan “menyeluruh” terhadap SRC.

Tentunya, banyak perkara perlu dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan, bukan saja dari sudut kesan atas kes itu sendiri, tetapi juga dari segi persepsi awam terhadap kewibawaan sistem kehakiman, pihak berkuasa penyiasatan, dan pendakwaan.

-FMT