Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sejarah terlakar, RUU haramkan Ahli Parlimen lompat parti dululuskan


PUTRAJAYA: Sejarah tercipta hari ini apabila pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RUU berkenaan diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan seramai 209 ahli Parlimen yang hadir mengundi untuk  menyokong, tiada yang menentang atau berkecuali, manakala 11 tidak hadir

“Terima kasih kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat  sama ada daripada blok kerajaan, pembangkang dan bebas yang melakar sejarah pada hari ini.

“Syabas kerana ahli-ahli Yang Berhormat yang berada di dalam dewan yang mulia telah menjalankan amanah rakyat melalui sistem Demokrasi Berparlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Rang Undang-Undang itu terhasil selepas pelbagai sesi libat urus, pandangan serta melalui Jawatankuasa Pilihan Khas secara bi-partisan melibatkan wakil parti-parti utama di dalam Dewan Rakyat.

Jelas beliau, ia penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menghargai kesemua 54 Dewan Rakyat  yang menyertai sesi perbahasan dan memberikan pandangan mereka.

Ini adalah isyarat jelas bahawa ahli-ahli Yang Berhormat mengamalkan politik matang berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan dan pelaksanaan,” katanya.

Terdahulu, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu pertama kali dibacakan pada 11 April lalu, bagaimanapun, ia kemudian dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut berikutan tafsiran Perlembagaan dan ‘lompat parti’ yang luas.

Bacaan kedua rang undang-undang itu telah dibaca, dibentang dan dibahaskan semalam di Dewan Rakyat. 

– UTUSAN