Pihak pendakwaan hari ini selesai mengemukakan hujahannya dalam rayuan terakhir Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta milik dana SRC International di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.
Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V Sithambaram mengakhiri hujahannya pada 4 petang di hadapan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
"Kami (pendakwaan) selesai mengemukakan hujahan kami," kata Sithambaram.
Tengku Maimun kemudian menetapkan 23 Ogos untuk meneruskan pendengaran rayuan itu.
Ketika ini, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik berdiri dan berkata: "Saya tidak akan membuat sebarang penghujahan."
Hakim Tengku Maimun: Bukan secara lisan pun?
Hisyam: Bukan secara lisan.
Tengku Maimun: Tidak mengapa. Kami akan tunggu… pada Selasa (23 Ogos) dan kita tengok macam mana. Kamu ada tiga hari (Sabtu, Ahad dan Isnin). Jangan beritahu kami bahawa kamu tidak bersedia untuk berhujah bagi mana-mana 94 alasan dalam petisyen rayuan. Tidak mengapa jika tidak bersedia untuk memfailkan hujahan bertulis. Boleh berhujah secara lisan.
Hisyam: Saya tidak akan membuat hujahan.
Tengku Maimun: Terpulang kepada kamu. Dalam rekod kamu adalah peguam. Kita tunggu Selasa ini.
Ia adalah kebebasan kamu untuk mengemukakan hujahan atau sebaliknya, kamu ada tiga hari untuk bersedia. Jangan kamu katakan kamu tidak bersedia untuk mengemukakan hujahan mengenai 94 alasan dalam petisyen rayuan kamu.
Sebelum pihak pendakwaan menyelesaikan hujahannya, Hisyam memohon penangguhan prosiding rayuan itu sehingga Khamis kerana mempunyai kes lain pada Selasa dan Rabu.
Ketua Hakim Negara itu sekali lagi dengan tegas berkata seperti yang telah dinyatakan berkali-kali, tiada penangguhan ke atas rayuan itu.
"Kita akan meneruskan seperti yang dijadualkan," katanya.
Hari ini adalah hari kedua panel lima hakim termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah mendengar rayuan terakhir Najib itu.
Semalam, mahkamah menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib dan mengarahkan pendakwaan berhujah terlebih dahulu.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana hakim itu mengarahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.
-MalaysiaKini