Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hakim perlu hindari sebarang bentuk keraguan dan pengaruh -Sultan Nazrin


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, seseorang hakim perlu menghindari sebarang bentuk keraguan selain perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan agar menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman terjaga.

Baginda bertitah, penghakiman yang telus menggambarkan sistem keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa memandangkan dalam sistem keadilan, seorang hakim adalah watak penting serta mempunyai peranan besar.

Titah baginda, sejarah membuktikan bahawa Rasulullah S.A.W mengiktiraf dan memberi ruang kebebasan kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal yang diutus sebagai wakil ke Yaman untuk berijtihad dengan kemampuan ilmunya dalam menjatuhkan hukuman sekiranya sesuatu perkara itu tidak terdapat dalam al-Quran mahupun as-Sunnah dengan baginda tidak mempengaruhi pemikiran Muaz dalam berijtihad atau campur tangan dalam penghakimannya.

Sultan Nazrin bertitah, almarhum ayahanda baginda, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada suatu ketika turut pernah bertitah dalam ucapan perasmian Persidangan Undang-Undang Malaysia ke-14 yang menyatakan maksud bahawa kewujudan hakim serta mahkamah dalam sesuatu kelompok masyarakat tidak membuktikan apa-apa nilai melainkan jika kualiti, kebebasan, dan kuasa entiti terbabit diambil kira.

"Sehubungan itu demi kepentingan keadilan, Beta selaku ketua agama Islam yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal agama Islam (negeri), mendukung sepenuhnya prinsip kebebasan kehakiman syariah di negeri ini," titah baginda ketika sesi titah diraja dalam Majlis Pelancaran Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Vol. 1 2022 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.

Sultan Nazrin bertitah, usaha menambah baik sistem kehakiman syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah termasuk melalui penerbitan Al-Qanun iaitu Jurnal Syariah Perak hendaklah terus dirintis dengan harapan dapat dijadikan bahan rujukan oleh hakim serta pengamal undang-undang.

Titah baginda, menjadi tanggungjawab kerajaan baginda membantu menyediakan keperluan latihan dan pembangunan kompetensi yang menitikberatkan aspek penguasaan ilmu dan pemantapan sahsiah termasuk dengan mempertingkatkan kemudahan pembangunan latihan dan penyelidikan, selain prasarana yang selari dengan perkembangan teknologi terkini.

"Dalam usaha mewujudkan institusi Kehakiman Syariah yang kredibiliti dan berwibawa, pegawai kehakiman perlu daripada semasa ke semasa diberi latihan, dilengkapi kemahiran dan didedahkan dengan pengalaman agar pengetahuan dan kecekapan mereka mentafsir undang-undang dan hukum syarak dapat ditingkatkan.


"Kompetensi perlu sentiasa ditambah baik selaras dengan cabaran semasa dan kompleksiti kes-kes yang dikendalikan di Mahkamah Syariah pada masa kini," titah baginda.

Titah baginda, penulisan alasan penghakiman menjadi medium penilaian untuk menentukan tahap kompetensi dan kecekapan seseorang hakim kerana alasan penghakiman yang berkualiti dapat menzahirkan kemahiran hakim terbabit dalam menilai sesuatu isu dengan mengaplikasikan kepelbagaian prinsip undang-undang dan hukum syarak yang tepat sehingga keadilan dapat diberikan kepada yang berhak.

"Penulisan alasan penghakiman yang bernas dan berkualiti akan menjadi panduan dan rujukan kepada semua pengamal undang-undang. Sandaran dan justifikasi yang kukuh terhadap sesuatu isu dan penilaian serta penggunaan hukum dan prinsip undang-undang yang tepat akan menjamin kredibiliti hakim dan mengangkat sistem keadilan itu sendiri," titah baginda.

-MYMetro