Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hukuman atas Najib tak beri kelebihan kepada Pakatan Harapan -Saifuddin


KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memberi sebarang kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PH tetap perlu berdepan PRU-15 dengan membina kekuatan sendiri dengan meyakinkan penyokongnya serta menarik sokongan pengundi atas pagar.

"Kesan hukuman ke atas Najib lebih kepada UMNO sendiri kerana parti itu akan terus bergolak kerana penyokong tegar bekas Perdana Menteri itu akan marah serta kecewa.

"Kemarahan mereka sudah tentu akan terarah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO kerana dilihat 'cuci tangan'," katanya kepada BH, hari ini.


Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.


Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau menjangkakan golongan atasan UMNO akan terus membentuk puak susulan perkembangan keputusan mahkamah itu.

"(Mereka) yang melihat Najib sebagai saingan mungkin dalam diam (berasa) gembira.

"(Mereka) yang melihat Najib sebagai aset yang berjaya memulihkan UMNO selepas hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), akan merasai bahawa UMNO hilang satu 'force' (kekuatan) yang cukup penting untuk memegang tapak sokongan dalam UMNO," katanya

-BeritaHarian