Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Jika UMNO Selangor kerjasama dengan PAS, UMNO Johor pilih dengan DAP


PETALING JAYA: “UMNO ada satu saja, mana ada UMNO Selangor, UMNO Kedah, UMNO Terengganu misalnya. Mana ada UMNO versi negeri-negeri yang boleh diberikan autonomi untuk menentukan hala tuju, dan lebih-lebih lagi kerjasama politik”.

Demikian penjelasan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Noor Azleen Ambros berhubung cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin supaya UMNO tidak menghalang negeri atau bahagian yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Noor Azleen berkata jika UMNO Selangor berikan kuasa autonomi untuk bekerjasama dengan Pas, maka UMNO Johor juga mahukan autonomi untuk bekerjasama dengan DAP bagi menguasai kerusi Parlimen di kawasan bandar dan campuran di negeri itu.

“Jika mahu cakap di Selangor, gabungan UMNO dan Pas boleh menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya, perkara itu akan mewujudkan kekeliruan, seolah-olah macam badan perhubungan UMNO peringkat negeri ada pula autonomi untuk menentukan dasar, halatuju dan sebarang bentuk kerjasama politik.

“Kalau macam itu, UMNO Johor nak kerjasama dengan DAP, lagi senang nak menang kawasan bandar dan kawasan bercampur yang ada dalam Johor. Jadi, mana boleh macam itu,” katanya.

Justeri, katanya Badan Perhubungan Negeri UMNO di setiap negeri perlu akur kepada ketetapan parti berhubung soal kerjasama politik dengan parti-parti lain dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mesti tertakluk kepada disiplin parti, dan dari segi teknikalnya tiada mana-mana badan perhubungan UMNO negeri yang diberi kebebasan autonomi untuk menentukan halatuju, lebih-lebih lagi kerjasama politik. 

“Sebab keputusan tertinggi adalah daripada Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO. Itulah pembuat dasar yang menentukan keputusan tertinggi parti,” katanya.


Semalam, akhbar ini melaporkan, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menasihati UMNO supaya meneliti keputusan tidak memberi sebarang autonomi kepada kepemimpinan negeri untuk bekerjasama menerusi MN, khususnya di negeri-negeri yang dilihat berpotensi menang jika kedua-dua parti terbesar Melayu Islam itu bersatu.

Sebelum itu pula, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu Utusan Malaysia, UMNO tidak memberi sebarang autonomi kepada kepemimpinan negeri dan bahagian untuk bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebaliknya semua pihak perlu merujuk ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Mac lalu.

Kata Ahmad Maslan, ketetapan PAU itu merangkumi keseluruhan negeri termasuk Selangor yang sebelum ini meminta kuasa autonomi diberikan sebagai usaha menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

-UTUSAN