PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berkaitan draf penghakiman dalam tiga rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa bocor semalam.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203 Kanun Keseksaan.
“Kita mengesahkan ada menerima laporan berkaitan perkara itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan mengesahkan memulakan siasatan serta membuat satu laporan polis berhubung kebocoran draf penghakiman dalam tiga rayuan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu yang dimuat naik sebuah portal.
Katanya, penghakiman yang dibocorkan sebuah portal berita itu adalah draf yang belum dimuktamadkan dan sudah diubah suai.
“Pejabat ini mengesahkan draf kerja penghakiman yang bocor itu adalah draf kerja yang belum dimuktamadkan.
“Penghakiman muktamad hanya disampaikan di mahkamah terbuka pada lebih kurang empat jam pada tarikh sama. Didapati dokumen yang bocor itu sudah diubah suai,” katanya.
Jelasnya, perbuatan ini suatu tindakan disengajakan untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.
“Pejabat ini menegaskan bahawa Badan Kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara,” katanya lagi.
– UTUSAN