Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kenapa AG tak minta cepatkan kes Terowong dan Syed Saddiq? -Pemuda UMNO


Pemuda Umno menuntut jawapan daripada Peguam Negara berhubung surat gesaan supaya hakim memberi keutamaan kepada kes mahkamah yang dihadapi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, tindakan itu boleh menjejaskan imej Peguam Negara kerana melibatkan kredibiliti dan institusi yang mula dikaitkan dengan percaturan politik sejak Tommy Thomas dilantik sebagai peguam negara semasa pentadbiran singkat Pakatan Harapan.

"Persoalannya, bolehkah peguam negara sebagai badan eksekutif mencampuri urusan badan kehakiman? Bukankah seharusnya Pejabat Peguam Negara sendiri menghormati doktrin pemisahan kuasa antara tiga badan; legislatif, eksekutif dan kehakiman?

"Mengapa hanya kes Zahid, kenapa tidak kes-kes rasuah lain yang berprofil tinggi seperti kes Rasuah terowong Lim Guan Eng, kes rasuah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman?

"Walaupun hari ini, Pejabat Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan menarik balik surat tersebut, Pemuda Umno menuntut penjelasan tuntas peguam negara kerana melibatkan kredibiliti dan imej institusi yang mula dikaitkan dengan percaturan politik sejak Tommy Thomas sendiri dengan bongkak mendedahkan kuasanya ketika menjadi peguam negara dalam buku beliau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pihak pendakwaan hari ini menarik balik surat yang dihantar kepada hakim Mahkamah Tinggi bagi meminta kes dihadapi Ahmad Zahid diberi keutamaan berbanding kes penyelewengan dana 1MDB Najib Razak.


Pada prosiding perbicaraan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan kepada mahkamah bahawa perkara itu kini selesai dengan mengambil kira penarikan balik surat berkenaan.

"Oleh itu, tiada permohonan sedemikian di hadapan mahkamah ini. Kita teruskan dengan perbicaraan ini," katanya ketika prosiding.


Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri turut mempersoalkan apakah wujud niat jahat daripada Peguam Negara.

"Adakah wujud unsur niat jahat daripada pejabat Peguam Negara dalam kes membabitkan pemimpin Umno?

"Mengeluarkan surat, kemudian menarik balik seolah tiada apa-apa berlaku adalah sikap tidak jujur kerana kesan negatif surat itu telah berlaku.

"Dan sekarang kita mempersoalkan sama ada Ahmad Zahid boleh mendapat perbicaraan yang adil dan telus?," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Oleh itu katanya, timbalan pendakwa raya dalam kes Ahmad Zahid perlu ditukar kerana dengan jelas mencampuri urusan kehakiman.

-Malaysiakini