KUALA LUMPUR: Peguam Diraja dari United Kingdom Jonathan James Laidlaw telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan terakhir beliau membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Menerusi notis itu, Laidlaw merayu terhadap keseluruhan keputusan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada 21 Julai lepas yang menolak permohonannya tanpa kos.
Rayuan itu dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 19 Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Najib memfailkan permohonan itu pada 31 Mei lepas bagi membolehkan Laidlaw mewakilinya dalam rayuan kes SRC atas beberapa alasan antaranya beliau memiliki kelayakan, pengalaman dan kepakaran khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam di Malaysia.
Melalui notis usul itu, Laidlaw memohon supaya diterima masuk dan didaftarkan bagi menjalankan amalan di Mahkamah Tinggi di Semenanjung Malaysia untuk bertindak sebagai peguam utama Najib dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan serta semua sebab atau perkara lain yang berkaitan dengannya.
Malangnya setelah dua bulan iaitu pada 21 Julai lalu, Ahmad Kamal menolak permohonan itu atas alasan Laidlaw gagal membuktikan beliau memiliki kelayakan khas dan pengalaman untuk mengendali rayuan atau pertuduhan terhadap Najib yang membabitkan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Berikutan itu Najib telah melantik firma guaman tempatan yang baru bagi mewakilinya menggantikan pasukan Shafee.
Oleh kerana masa yang panjang untuk menunggu keputusan pemilihan Laidlaw, pasukan guaman Najib yang terbaru mendakwa mereka tidak mempunyai cukup masa untuk meneliti beratus dokumen dan meneruskan hujahan mengikut masa yang ditetapkan pada 18 Ogos 2022.
Permohonan untuk minta tangguh dari 2 hingga ke 3 bulan telah ditolak Panel Hakim Mahkamah Persekutuan.
Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas bekas Perdana Menteri itu bagi kesalahan menyeleweng dana SRC International.
-- BERNAMA/TunCarlos