Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

LCS: Polis akan panggil Rafizi


KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan telah menerima laporan terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung kenyataan mengenai Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mendakwa isterinya terlibat skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya akan memanggil Rafizi Ramli untuk dirakam keterangan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

"Siasatan pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada 22 Ogos pada jam lebih kurang 12.00 tengah hari.

"Pengadu terbaca satu hantaran melalui blog rafiziramli.com berkenaan fitnah dan tohmahan dibuat saudara Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR yang mengandungi pembohongan dengan tujuan untuk merosakkan nama baik Yang Berhormat Abd Latiff," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Eng Lai berkata, pengadu menafikan kenyataan dibuat Rafizi mendakwa Ahli Parlimen Mersing itu mempunyai isteri kedua yang mendapat kontrak pertahanan bernilai puluhan juta ringgit bagi perolehan projek LCS semasa Abd Latiff menjawat jawatan Timbalan Menteri.


Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Sayed Ahmad Mui'izzuddin Al-Sayed Mohamad terhadap Rafizi.

Laporan itu dibuat susulan kenyataan Rafizi yang mengaitkan Abd Latiff dan seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh didakwa isteri keduanya turut terlibat dalam penyelewengan projek LCS.

Susulan itu Eng Lai berkata, pihaknya mengesan sebanyak dua video berkaitan kenyataan Rafizi yang telah dimuat naik menerusi akaun TikTok dan Instagram miliknya pada 25 Ogos lalu.

-Sinar