KUALA LUMPUR : Perjumpaan bersama Ketua Bahagian di Menara Dato' Onn yang dijadual bermula pada jam 11 pagi tadi hanyalah pertemuan biasa selain majlis makan tengah hari sesama mereka.
Menurut sumber, majlis makan tengah hari itu diadakan memandangkan kali terakhir ia berlangsung pada dua tahun lepas.
Difahamkan, majlis pada waktu itu adalah anjuran Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
"Tiada apapun, makan tengah hari saja. Lama dah tak makan tengah hari dengan Ketua Bahagian.
"Kali terakhir makan sama-sama pun dua tahun lepas," katanya ketika ditemui di Menara Dato' Onn pada Isnin.
Setakat jam 1.30 petang, masih belum kelihatan mana-mana pemimpin UMNO turun dari bilik mesyuarat, menandakan mesyuarat masih berlangsung.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengadakan mesyuarat tergempar dengan Ketua-Ketua Bahagian UMNO di Ibu Pejabat parti di sini bermula jam 11 pagi.
Menurut mesej yang didakwa dihantar Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada jam 11 malam pada Ahad, pertemuan khas tersebut adalah berkenaan dengan masa depan parti tersebut.
Antara yang hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Selain itu, turut hadir ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad dan Ketua Bahagian UMNO Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Begitupun, media difahamkan akan ada mesyuarat melibatkan pimpinan UMNO pada hari ini dan ia bukan sekadar makan tengah hari.
Begitupun, sehingga kini masih belum dipastikan isi mesyuarat, namun khabar angin mendakwa ia mungkin berkaitan tarikh pilihan raya.
Selain itu, difahamkan kes mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dipercayai akan disentuh dalam pertemuan tersebut.