KUALA LUMPUR - Tiga peguam daripada firma Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) menuntut Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan yang dikatakan sebagai fitnah, berhubung tindakan mereka semasa mengendalikan rayuan terakhir, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.
Menurut pernyataan tuntutan bertarikh 26 Ogos, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavanam menuntut penarikan semula dan permohonan maaf yang penuh dan tidak berbelah bahagi berhubung kenyataan yang diterbitkan dan disebarkan kepada media bertajuk 'Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System' pada 19 Ogos.
Mereka mendakwa kenyataan akhbar yang menjadi asas kepada laporan berita itu secara 'palsu dan berniat jahat' mengandungi kenyataan-kenyataan berkaitan tindakan mereka dalam mengendalikan rayuan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Persekutuan.
Pernyataan itu turut menyatakan bahawa mereka mendakwa beberapa perenggan dalam kenyataan akhbar Karen itu menunjukkan sikap secara melulu tidak mengendahkan sama ada tohmahan yang disampaikan menerusi kata-kata bersifat aduan itu, adalah benar atau sebaliknya.
Menurut pernyataan itu, perenggan berkenaan mengatakan bahawa peguam telah sengaja bertindak secara tidak profesional dengan agenda yang tidak wajar untuk menyalahgunakan proses mahkamah, bahawa mereka menggunakan strategi yang tidak bertanggungjawab, dan bahawa tindakan mereka dibuat bagi memesongkan proses keadilan, dan mencemarkan profesion perundangan.
Mereka berkata, kenyataan Karen mendakwa pihak peguam adalah tidak profesional, tidak cekap dan tidak tahu peraturan profesional dalam amalan dan etika; tiada rasa bersalah untuk menyalahgunakan proses mahkamah; telah bertindak secara terang-terangan menghina mahkamah; dan tidak boleh dilakukan sebagai peguam bela dan peguam cara.
Menurut pernyataan itu mereka akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Karen sekiranya penarikan balik dan permohonan maaf tidak dibuat selewat-lewatnya pada 2 September ini.
Pada 26 Julai, Najib melantik ZIST untuk mewakilinya dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Persekutuan selepas melepaskan Tetuan Shafee & Co berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, pada 18 Ogos Najib telah melepaskan ZIST sebagai peguam caranya.
- Bernama