Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Peguam Najib perlu berdepan tindakan tatatertib, kata Majlis Peguam

Karen Cheah ketika hadir himpunan tunjuk perasaaan di Padang Merbok baru-baru ini

Majlis Peguam Malaysia menyelar tindakan bekas perdana menteri, Najib Razak dan peguamnya berhubung rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.

Presidennya, Karen Cheah berkata, ia merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah dan mencemarkan nama baik sistem kehakiman, selain peguam yang terlibat perlu berdepan tindakan tatatertib.

Katanya, meskipun Najib berhak menggugurkan peguamnya dan melantik peguam baru, namun dengan berbuat demikian, ia bermakna mengambil risiko bahawa mahkamah mungkin tidak membenarkan penangguhan, sementara pasukan peguam baru mengambil alih kes tersebut.

“Keputusan untuk menukar peguam pada saat akhir ketika ini adalah dari dia sendiri. Oleh itu, sebarang ketidakadilan yang didakwa olehnya, sekiranya ada, disebabkan dirinya sendiri (self-inflicted),” katanya.

Sebagai peguam Najib, Cheah berkata amalan undang-undang menetapkan bahawa peguam tidak seharusnya menerima sebarang kes, melainkan mereka yakin secara munasabah boleh hadir dan mewakili anak guam pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Mereka juga perlu sedaya-upaya untuk bersedia menghadiri perbicaraan pada tarikh tersebut, kata Cheah.

Dia berkata terdapat dua peraturan yang jelas menyatakan bahawa seseorang peguam mesti bersiap sedia dan membuat penilaian sebelum memutuskan sama ada boleh mengambil kes tersebut.

“Kewajipan utama kepada mahkamah, menghormati pentadbiran keadilan, dan menegakkan martabat profesion undang-undang, harus ada dalam diri semua peguam,” katanya, memetik Peraturan 6(a) dan 24(a) Kaedah-kaedah Profesion Undang-undang (Amalan dan Etika) 1978.

Najib mengemukan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan terhadap satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana SRC International.

Pada penghujung Julai lalu, Najib menggugurkan pasukan peguam yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah dan melantik firma Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners bagi mewakilinya.


Pasukan peguam baru itu kemudian memohon untuk menangguhkan rayuan selama beberapa bulan bagi membuat persediaan, namun ditolak oleh mahkamah.

Mahkamah Persekutuan juga menolak permohonan peguam untuk mengemukakan bukti baru yang mereka dakwa menunjukkan hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan dalam kes itu. Mahkamah memutuskan bukti yang dikatakan itu tidak mempunyai kaitan dengan pertuduhan terhadap Najib.

Najib kemudiannya menggugurkan peguam dari firma Zaid kecuali peguam utama Hisyam Teh Poh Teik, yang sebelum ini cuba menarik diri tetapi tidak mendapat kebenaran mahkamah.

Perbicaraan akan disambung pada Selasa meskipun Hisyam menegaskan dia tidak akan berhujah kerana tidak membuat persediaan.




-Malaysiakini